Muhammad Fadzli Hasan
Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzil Hasan berkata, adalah lebih baik kerajaan melaksanakan pendekatan itu bagi memastikan belia yang mencapai umur itu secara automatik tersenarai dalam daftar pemilih dan boleh mengundi.

"Jika kita turunkan had umur sekalipun, tetapi individu itu gagal mendaftar, mereka tetap tidak berpeluang untuk mengundi. Maka sepatutnya cukup umur, secara automatik nama sudah tersenarai sebagai pengundi.
Daripada segi pelaksanaannya, kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), perlu bekerjasama untuk memperkenalkan mekanisme atau sistem yang sesuai untuk merealisasikan perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Muhammad Fadzil berkata, pendekatan itu mampu mengurangkan peratusan golongan muda yang layak tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi.
Katanya, pendekatan itu sudah lama disarankan oleh ramai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, namun tidak mendapat perhatian kerana sistem pendaftaran pengundi sedia ada dianggap masih efisien.
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam temu bual eksklusif  bersama Malay Mail baru-baru ini dilaporkan berkata pentadbirannya mungkin akan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun susulan 'gelombang' belia dalam  Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang menyaksikan pertukaran kerajaan Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto PRU14,  parti itu berhasrat mengubah had umur layak mengundi dari 21 ke 18 tahun.
Cadangan menurunkan had umur itu turut mendapat reaksi berbeza orang awam.
Pekerja swasta, Muhammad Fardhi Syawal, 24 berkata, cadangan itu tidak wajar dilaksanakan kerana usia 18 tahun adalah tempoh peralihan remaja dari alam persekolahan kepada alam awal dewasa dan belum mampu berfikir secara rasional.
"Dalam usia ini, mereka mudah terpengaruh serta beremosi, berbanding berfikir secara matang dan rasional. Buktinya negara masih berdepan pelbagai isu gejala sosial membabitkan belia berumur 18 tahun," katanya.
Namun, Aizuddin Aiman Maon, 26, berpendapat perlaksanaan cadangan itu mampu mendidik orang muda menjadi  rakyat yang lebih bertanggungjawab.
"Belia zaman ini, lebih bijak menilai dan mula ada kesedaran sebagai rakyat yang bertanggungjawab. Mereka boleh menyuarakan pendapat dan 'kuasa' mereka menerusi saluran yang betul iaitu sistem pilihan raya," katanya.-BERNAMA