Khairy berkata, cadangan tersebut merupakan antara beberapa manifesto beliau untuk pemilihan UMNO yang akan berlangsung pada 30 Jun ini.

“Saya mencadangkan kewujudan dua lagi jawatan naib presiden UMNO yang khas untuk golongan wanita kerana seolah-olah ada kelas siling untuk wanita. Naib presiden merupakan jawatan pemimpin di peringkat kebangsaan iaitu boleh merasmikan bahagian bukan hanya mesyuarat wanita.
“Kita perlu jaga kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah memandangkan kita hormat asas penubuhan Malaysia antara Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah Sarawak, maka satu lagi jawatan naib presiden khas untuk Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Jelasnya, dalam tempoh 10 hari ini beliau akan mengutarakan beberapa idea lagi sebagai manifesto pemilihan secara berperingkat-peringkat.
“Saya tidak akan umum semua sekali gus, sebaliknya ambil masa 10 hari untuk umum beberapa idea. Kalau umum semua akan tenggelam (lost on coverage),” katanya. - UTUSAN ONLINE