Naib Presiden Pakatan Harapan yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara tersebut namun tidak menolak keberangkalian berkenaan berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu.
"Saya tidak hendak komen yang baharu tetapi berdasarkan pengalaman yang lalu, the first batch (barisan pertama Kabinet), khabar angin itu sahih.
"Jadi walaupun telah tular sekarang ini, apa yang boleh saya beritahu adalah surat rasmi daripada Istana Negara telah dikeluarkan yang mereka semua akan mengangkat sumpah pada 2 Julai, itu sahih," katanya.
Beliau yang merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di Wisma Tani, di sini hari ini.
Baru-baru ini, senarai barisan tambahan Kabinet yang tidak dapat dipastikan kesahihannya telah tular di media sosial dengan jumlah penuh senarai berkenaan akan merangkumi 26 Menteri dan 23 Timbalan Menteri.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM mengesahkan senarai penuh anggota Kabinet telah dimuktamadkan. - UTUSAN ONLINE