Petisyen tersebut yang difailkan Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Junior membabitkan kerusi Parlimen Kimanis, Sipitang, Keningau dan Libaran serta DUN Sungai Sibuga, Kundasang, Sook dan Kiulu yang kesemuanya dimenangi Barisan Nasional (BN).
Loretto berkata, Warisan mencabar keputusan berkenaan kerana mempunyai bukti tindakan calon-calon BN yang membeli undi, pertambahan jumlah kotak undi pos serta isu membabitkan Borang 14.
“Ini adalah hari terakhir untuk memfailkan petisyen dan Warisan telah membuatkan keputusan mencabar keputusan kerusi-kerusi ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.
Dalam PRU-14, DUN Sungai Sibuga dimenangi bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; Parlimen Sipitang oleh anak beliau, Yamani Hafez manakala Parlimen Kimanis melalui adiknya, Datuk Seri Anifah.
Loretto berkata, Warisan telah menyediakan lapan peguam iaitu dua orang untuk setiap petisyen dan pihaknya yakin akan memenanginya berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh. - UTUSAN ONLINE