Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepemimpinannya mengambil kira kesan terhadap negeri terutama soal ekonomi, kelancaran pentadbiran dan sikap rakyat dalam menerima perubahan.
Katanya lagi, ada yang sudah mula bertanyakan tentang tidak banyak tindakan yang diputuskan dalam tempoh 30 hari terutama soal pembatalan projek-projek mega dan pemecatan para peneraju syarikat berkaitan kerajaan.
“Kita tidak melakukan sebagaimana sesetengah pihak, perintah hari ini, esok dah mula pecat. Kita tengok dengan cermat dan kaji,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Anak-Anak Terengganu di Perantauan 2018 sempena Aidilfitri di Duyong Marina Resort, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Kerajaan, Datuk Abdul Rahman Yahya; Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husain Awang serta barisan Exco kerajaan negeri dan Presiden Perantau, Prof. Dr. Kamaruzaman Yusof.
Ahmad Samsuri berkata, pendekatan kerajaan negeri seiring dengan langkah memberanikan diri menerapkan politik kasih sayang dalam konsep politik matang dan sejahtera.
“Ini ke arah satu anjakan paradigma agar rakyat tidak takut apabila kita melakukan perubahan dalam apa jua proses demokrasi dengan politik yang harmoni, bukan kebencian. Politik untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk terus menambah masalah rakyat,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE