.... Kemaafan dari hati Zahirah MacWilson | AAKJ



LUPAKAN dulu soal cinta malah kata Zahirah Macwilson sebolehbolehnya dia mahu mengelakkan diri daripTIADA yang lebih bermakna pada bulan mulia ini selain daripada menghulurkan kemaafan. Bertepatan dengan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi, ada manisnya kita membuang semua rasa amarah, dendam kesumat kerana sebaik-baik manusia ialah memberi dan memohon kemaafan.
Seiring dengan falsafah kemaafan sesama manusia yang sering dikaitkan dengan Aidilfitri mendorong pelakon cantik, Zahirah MacWilson memaafkan mereka pernah mengguris hati atau mencalarkan emosi dan perasaannya termasuk insan bergelar lelaki yang pernah bertakhta di hati.

Tidak hanya membuka pintu hati untuk memaafkan, pelakon drama Tak Ada Cinta Sepertimu ini juga memilih untuk melupakan segala-gala yang berlaku, sekali gus menjalani hidup dengan tenang dan bahagia.



Itulah yang dikongsi oleh gadis berusia 23 tahun ini kala diajak menyelak kembali lembaran kisah cintanya dengan aktor tampan, Zul Ariffin yang kandas di pertengahan jalan.


Enggan terus memanjangkan isu dakwaan Zul yang dia berswafoto berhampiran dengan jenazah ibu bekas teman lelakinya pada penghujung tahun lalu, anak sulung kepada pelakon veteran, Zainol MacWilson ini memilih untuk memberi fokus terhadap karier dan kehidupannya.
“Pada awal, saya memang terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh dia (Zul). Malah saya hampir mengambil tindakan dan ada berjumpa peguam. Namun apabila saya fikirkan semula, saya tidak tergamak untuk memperbesar-besar hal itu.
“Saya pilih untuk biarkan hal itu berlalu dan saya tidak mahu perkara itu diungkit lagi. Hal lepas usah diperkata lagi dan saya sendiri sudah pun memulakan hidup baharu.
“Saya maafkan dia. Yang penting sekarang ialah kerjaya saya. Fokus saya kini adalah untuk meneruskan kerja dan menjalani kehidupan dengan lebih tenang,” katanya ketika ditemui Mega HITS pada majlis pelancaran koleksi baju raya Zahirah Macwilson For Starvillion di Shah Alam, Selangor, awal Ramadan lalu.
“Pada usia 23 tahun, tiada yang teruk sangat tentang soal putus cinta. Itu perkara biasa untuk semua orang seusia dengan saya.
“Saya masih muda dan perjalanan hidup saya masih jauh, kenapa perlu saya mengorbankan waktu muda ini untuk bersedih dengan perkara tidak sepatutnya. Banyak lagi perkara lain perlu saya lakukan selain daripada meratapi cinta yang tidak kesampaian ini.
“Sebelum ini, saya pernah melihat ibu bapa saya melalui kegagalan dalam rumah tangga mereka. Bagaimana mereka berdepan dugaan tersebut menjadi inspirasi saya. Jadi, cerita putus cinta saya ini hanya dugaan kecil dah saya hadapi dengan matang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zahirah mengakui, jika diberi pilihan dia ingin mengelak daripada kembali menjalin cinta dengan rakan seindustri.
Bagaimanapun, pelakon yang bakal muncul dengan drama Jangan Benci Cintaku bergandingan bersama Saharul Ridzwan ini reda siapa sahaja jodoh ditakdir untuknya sama ada lelaki biasa atau rakan artis.
“Kalau boleh, saya memang mahu elak. Namun siapalah saya untuk mempertikai soal jodoh yang telah ditentukan Tuhan untuk saya kelak,” katanya menyambung perbualan.
Sambut lebaran di Perth
Beralih topik perbualan, Zahirah teruja kala diajak berkongsi cerita mengenai sambutan Syawal kali ini. Memandangkan keluarga ibunya menetap di Perth, Australia, si gadis manis ini tidak melepaskan peluang untuk pulang beraya di sana.
Menurut Zahirah yang bakal menghabiskan masa selama dua minggu di sana, beraya di negara orang tidak banyak beza dengan sambutannya di Malaysia kerana komuniti Melayu agak ramai di Perth.
Justeru, amalan mengerjakan solat sunat hari raya bersama-sama, tradisi kunjung mengunjung dan bermaafan masih diteruskan seperti di negara sendiri.
Situasi ini menambahkan lagi kemeriahan hari raya di perantauan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim seperti sebuah keluarga besar.
“Seperti biasa saya akan beraya di Perth. Keluarga saya semua ada di sana jadi suasana seakan-akan menyambut raya di Malaysia. Cuma tahun ini sedikit berbeza kerana kami ada ahli keluarga baharu iaitu ayah dan adik-beradik tiri.
“Walaupun berada jauh di sana, kami tetap merasai nikmat hari raya kerana amalan dan tradisi tetap dikekalkan. Masyarakat Melayu di sana ramai jadi kami berpeluang berkunjung ke setiap rumah untuk beraya.
“Begitu juga dengan juadah tradisional seperti ketupat, rendang dan biskut raya yang dihidangkan membuatkan kami tidak terasa menyambut di negara orang,” cerita Zahirah yang bakal menggayakan koleksi baju raya hasil kolaborasinya dengan Starvilion pada hari raya nanti.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top