Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu juga membawa makna BN kini kehilangan rakan kongsi yang penting di Sarawak.
Berikut teks penuh kenyataan akhbar Mohd. Khaled :
Keputusan parti-parti komponen Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta yang lain-lainnya untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) merupakan satu keputusan yang dijangkakan.
Keputusan parti-parti komponen itu meninggalkan BN membawa makna BN kini kehilangan rakan kongsi yang penting di Sarawak.
Sekalipun BN akur bahawa tidak ada pihak yang boleh menghalang dan mempertikaikan keputusan mereka untuk meninggalkan BN dan mencari hala
tuju serta jalan masa depannya sendiri, keputusan tersebut dilihat sangat menyedihkan dan memberi kesan kepada BN.
Biarpun UMNO Johor percaya bahawa ia dibuat dengan alasan dan pertimbangan yang sebaik-baiknya, UMNO Johor juga percaya bahawa keputusan sedemikian secara tidak langsung menggagalkan usaha memperkemas demokrasi dan mewujudkan sistem dua parti yang diusahakan selama ini.
Lebih penting, kesemua wakil daripada parti komponen ini diundi sebelum ini kerana mereka mewakili BN. Mereka dipilih atas kapasiti mereka sebagai wakil BN.
Jadi, meninggalkan BN bermakna mereka mengkhianati mandat dan kepercayaan yang rakyat berikan kepada mereka selaku wakil BN.
Ia bercanggah dengan kemahuan rakyat yang mahu mereka berkhidmat di bawah panji BN. Ini sudah pastilah satu perkara yang tidak baik.
Malah, tindakan parti-parti komponen BN dari Sarawak ini yang berhasrat mewujudkan pakatan hanya dari kalangan mereka sendiri sahaja merupakan
satu langkah ke belakang dan tidak menyokong aspirasi dan usaha kita untuk mengukuhkan integrasi nasional.
Lebih menyedihkan, keputusan meninggalkan BN ini seolah-olah mengetepikan segala kerjasama, persahabatan dan persaudaraan antara parti-parti komponen dalam BN sejak lebih 60 tahun.
Kekalahan dalam PRU tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terus mengubah pendirian dan melupakan begitu sahaja persahabatan dan kerjasama baik yang dibina selama ini.Kekalahan dalam PRU bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya. Ia seharusnya menjadi peringatan dan motivasi untuk parti menambah baik diri sendiri.
UMNO Johor berpandangan bahawa perkembangan seperti ini menggambarkan bahawa BN kini berdepan dengan cabaran besar untuk menyatu dan mengukuhkan parti-parti komponennya agar BN kekal relevan dan berfungsi dengan baik.
Pada masa yang sama, UMNO Johor percaya bahawa para pemimpin, ahli dan pendukung BN harus sedar dan menerima hakikat bahawa tiada perkongsian
dan pakatan seperti BN yang akan kekal selama-lamanya.
Setiap formula perkongsian kuasa yang menghimpunkan pelbagai kaum dan kemajmukan seperti yang diamalkan oleh BN selama ini pasti akan teruji
dengan bermacam-macam cabaran semasa.
Jadi, adalah kritikal untuk BN terus mencari jalan masa hadapan yang berupaya bagi mendepani semua ini dengan baik. Malah, UMNO Johor
sendiri akan memperhalusi perkara ini dengan sedalam-dalamnya. - UTUSAN ONLINE