Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam satu kenyataan berkata, penolakan komuniti pelabur terhadap langkah kerajaan seperti pembatalan beberapa projek mega dikhuatiri bakal menjejaskan bayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji.

“Pada penutup sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 8 Mei lalu, Indeks FBM KLCI pada hari Selasa berada pada 1,846.51, namun setakat penutup semalam (18 Jun 2018), indeks penanda aras berkenaan susut 103.08 mata kepada 1,743.43. Hal ini turut menyebabkan penurunan harga saham syarikat awam tersenarai (PLC) di pasaran saham tempatan sekali gus mengheret jatuh nilai pelaburan syarikat pengurus dana yang memiliki banyak pelaburan dalam PLC.
“Antara syarikat pengurus dana yang terkesan dengan kejatuhan nilai pelaburan mereka susulan aliran menurun dalam urus niaga Bursa Malaysia ialah KWSP. Secara keseluruhannya, KWSP kehilangan nilai pelaburan sebanyak RM3.86 bilion dalam empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Telekom Malaysia Bhd (TM), Axiata Group Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, dan Malayan Banking Bhd (Maybank) dalam tempoh sebulan.
“Kejatuhan harga saham Maybank sebanyak tujuh peratus, Axiata(12%), CIMB (8%) dan TM (21%) sejak PRU14. Ini menyebabkan KWSP kerugian atas kertas nilai pelaburan dalam syarikat terbabit, masing-masing RM1.06 bilion, RM990 juta, RM730 juta dan RM690 juta,” jelas kenyataan itu.
Unit itu turut menjelaskan pelabur lain yang bakal menerima impak penurunan harga saham PLC di Bursa Malaysia, termasuk pengurus dana lain seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Tabung Haji dan pelbagai lagi.
“Antara punca utama juga ialah pelabur asing menjual saham dan membawa keluar dana adalah kerana kegiatan politiking melampau iaitu keghairahan memburukkan Barisan Nasional (BN) dengan kenyataan kerajaan PH kononnya hutang negara lebih RM1 trilion dan kutipan Tabung Harapan.
“Terbaharu yang memburukkan imej negara dan iklim pelaburan apabila Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Azmin Ali dilaporkan memberitahu media perniagaan antarabangsa paling berpengaruh, Financial Times bahawa Malaysia sebuah negara bankrap,” katanya. – UTUSAN ONLINE