Tanggungjawab yang bukan sahaja dalam konteks menguruskan parti yang terbesar tetapi ia menjangkau kepada tanggungjawab untuk memastikan teras UMNO iaitu Melayu-Islam dan Raja-raja tetap dijunjung dan dijulang selamanya walaupun terpaksa bergadai keringat, berpatah sayap dan bertongkat paruh. Kita mendoakan agar Presiden UMNO yang baharu kelak akan mampu memahami aspirasi keramat ini.

Namun di saat kita meluncur laju untuk sampai ke detik 30 hari­bulan ini, ramai yang barangkali terlupa bahawa UMNO sebenarnya telah berjaya melepasi satu detik yang paling getir pada ketika ini iaitu UMNO tidak lagi boleh diha­ramkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). UMNO telah berjaya memenuhi tuntutan ROS agar mesyua­rat cawangan dan bahagian serta pemilihan parti (sayap dan Majlis Tertinggi) perlu diadakan tidak lewat daripada 30 Jun ini.
Dan ternyata, tanpa kita sedar UMNO telah berjaya melepasi halangan terbesar yang pertama pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini. Di mana jika kea­daan ini tidak diurus selia dengan penuh bijaksana dan kemas, ia boleh menatijahkan parti keramat UMNO ini terbubar dengan sendirinya mengikut lunas-lunas peraturan yang sebagaimana ditetapkan oleh ROS. Ke mana tiga juta orang lebih pemimpin dan ahli UMNO akan pergi? Ke mana orang Melayu seluruhnya akan bergantung harap? Begitulah besarnya implikasi yang terjadi jikalau UMNO terpaksa dibubarkan.
Namun, ternyata Allah SWT masih mengasihi UMNO. Allah SWT masih sayangkan pemimpin dan ahli-ahlinya, lantaran itulah Allah SWT memberikan kejayaan kepada segala usaha dan proses untuk mengesahkan parti keramat ini. Akhirnya UMNO tidak boleh dibatalkan dan diharamkan oleh ROS. UMNO boleh terus bernafas, hidup dan UMNO boleh terus bangkit semula selepas ini.
Syabas dan tahniah kepada semua pemimpin dan ahli UMNO di setiap pelosok negara dan peringkat sama ada cawangan, bahagian mahupun pusat atas kerja keras menjayakan agenda permesyua­ratan dan pemilihan sehingga segalanya dapat berjalan dengan sempurna.
Persoalannya, apakah semua ke­jayaan dan keadaan ini terjadi de­­ngan sendiri? Ia pastinya tidak. Setiap yang berlaku atas muka bumi Allah SWT ini terjadi adalah kerana atas kehendak dan kuasa-Nya melalui ikhtiar oleh kita semua.
Ternyata dalam hal ini, kita semua tidak boleh menolak hakikat dan harus mengakui fakta bahawa daya kepemimpinan dan ke­upayaan pemangku presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam mendepani cabaran pertama tempoh pemangkuannya sebagai Presiden parti untuk memastikan parti tidak diharamkan dan dibatalkan oleh ROS adalah cukup cemerlang dan berjaya. Kerahan demi kerahan untuk me­laksanakan juga mesyuarat-me­­syuarat cawangan walaupun dalam bulan puasa sehingga ke hari raya adalah satu manifestasi kepada satu bentuk daya kepe­mimpinan yang boleh diyakini.
Mana tidaknya, Ahmad Zahid selaku pemangku presiden menerima parti dalam keadaan parti Barisan Nasional (BN) tewas mengejut pada PRU-14 dan UMNO sendiri terumbang-am­bing, digasak kiri dan kanan de­ngan pelbagai nista, fitnah dan dengan pergolakan yang tidak berkesudahan.
Pastinya ia bukanlah suatu yang mudah dan enteng. Memimpin parti dalam suasana se­perti berada dalam pusaran angin puting beliung bukanlah suatu yang diimpikan oleh mana-mana pemimpin. Ia menuntut kepada kekentalan semangat, kekuatan jiwa, kebijakan fikrah, pendisiplinan diri serta daya hubungan yang erat dengan Al-Khalik (Pencipta).
Oleh itu, pemangku presiden yang bernama Ahmad Zahid ini telah berjaya membuktikan kepada seluruh ahli UMNO dan parti pembangkang bahawa beliau telah berjaya menyelamatkan UMNO. Inilah ‘air tangan’ permulaan Ahmad Zahid selaku pemang­ku presiden.
Ini adalah merit pertama beliau selaku pemangku Presiden parti. Dan ini jugalah kemenang­an pertama sebenar UMNO pasca PRU-14. Kemenangan yang seharusnya menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula UMNO di persada politik tanah air.
Kebangkitan yang tidak akan lagi berpapah. Kebangkitan yang tidak akan lagi menoleh ke belakang. Kebangkitan yang akan dirasai denyutannya oleh setiap rakyat di tanah air ini. Kebangkitan yang akan kembali melakarkan satu sejarah baru buat UMNO dan seluruh ahli-ahlinya.
Momentum permulaan yang cemerlang bila mana UMNO berjaya digagalkan daripada usaha untuk membatalkannya harus diteruskan dengan pemilihan Presiden, Naib dan Ahli Majlis Tertinggi yang terbaik. Namun, senario pemilihan UMNO kali ini sebenarnya adalah cukup berbeza. Jika sebelum ini, pemilihan parti berlaku dalam keadaan UMNO menjadi kerajaan, tetapi kali ini pemilihan berlaku tatkala UMNO adalah sebuah parti yang bergelar pembangkang dan bukan lagi kerajaan.
Dalam hal ini, ramai yang terkeliru seolah-olah UMNO akan berdepan dengan PRU-15 pada penghujung tahun. Maka ramailah pemimpin yang ingin bertanding jawatan utama dalam parti hatta jawatan presiden sekali pun de­ngan menjual harapan yang terlalu indah dan menarik tetapi hakikat sebenarnya adalah kabur.
Harapan kepada ahli parti iaitu seolah-olah esok lusalah kita akan berdepan dengan pembangkang dalam PRU. Ramai ahli yang terkesima dan tertipu de­ngan kenyataan seperti ini. Maka ramailah yang mula berkarektor seperti hero atau adijagat sedang­kan hakikat sebenarnya ialah PRU-15 masih lama lagi. Bukan esok, bukan bulan depan, bukan tahun depan tetapi empat tahun lebih lagi daripada sekarang.
Semua perwakilan dan ahli parti perlu ingat bahawa UMNO sekarang ini ibaratnya seperti seorang pendekar yang sedang jatuh tertiarap dan baru ingin mengangkat muka dan bahu.
Pastinya pendekar ini tidak boleh terus-terus bangun dan melawan balik. Kudratnya belum pulih sepenuhnya. Pendekar ini perlu ada formula terbaik untuk kebangkitan semula. Oleh itu, fokus semerta calon yang ber­tanding terutamanya bagi jawatan presiden seharusnya menjurus kepada untuk menstabilkan parti terlebih dahulu.
Bentanglah formula-formula yang terbaik untuk UMNO ba­ng­kit terlebih dahulu dalam tem­poh masa yang terdekat ini. Hanya selepas itu barulah boleh beralih pula kepada formula untuk menghadapi perang sebenar bagi menghadapi PRU-15 nanti.
Sesungguhnya Allah SWT masih merahmati dengan membuka jalan kepada parti keramat ini. UMNO tidak jadi dibatalkan. UMNO berjaya diselamatkan daripada diharamkan. Syabas kepada Ahmad Zahid selaku pemangku Presiden yang berjaya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang, juga semua pemimpin bahagian dan cawa­ngan yang memahami situasi kritikal parti pada ketika ini serta seluruh ahli yang masih kekal bersama parti pada waktu susah atau senang. Bangkit dan berla­rilah semula UMNO dengan penuh kebijaksanaan.
DATUK DR. AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD ialah penganalisis dan bekas setiausaha politik.