.... Jangan ada sokong pemimpin membuta-tuli | AAKJ



MOHAMAD Hasan pada sidang media khas mengenai hasratnya untuk bertanding Naib Presiden UMNO di Pejabat ADUN Rantau, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek
SEREMBAN: UMNO tidak lagi boleh ada pemimpin yang menyokong presiden secara membuta tuli jika mahu berubah sebaliknya perlu berani menegur dan perbetulkan dengan cara bijaksana.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai timbalan presiden kerana mahu memastikan asas perjuangan UMNO tidak diketepikan dan sanggup menegur pemimpin nombor satu dalam parti.
"Saya yakin kita perlu beri peluang kepada setiap orang dan terpulang kepada kebijaksanaan dan penilaian ahli UMNO. Kalau saya terpilih dan diberi kepercayaan untuk menjadi timbalan presiden, saya akan bekerja dengan sesiapa sahaja.
"Saya akan menyokong presiden, tetapi saya tidak akan menyokong secara membuta tuli. Kalau ada yang tidak betul akan saya tegur," katanya dalam temubual bersama NSTP.
Mohamad berkata, beliau boleh bekerja dengan sesiapa sahaja kerana fokusnya mahu membangunkan semula parti tetapi mengingatkan ahli bahawa UMNO sekarang perlukan pembaharuan.
"Saya harap dalam keadaan parti sekarang, ahli-ahli tidak boleh berfikir seperti dulu lagi. Kalau mahu memilih pemimpin, pilih yang benar-benar boleh memimpin, jangan pilih sebab ada imbuhan. Kalau mahu imbuhan, saya tidak ada apa boleh ditawarkan.
"Saya yakin UMNO boleh bangkit semula dengan kerjasama semua ahli parti. Kita sudah menang 13 kali pilihan raya, kalah sekali tidak bermakna langit sudah runtuh cuma kita perlu kembali semula kepada asas perjuangan dan 'roh' UMNO," katanya.
Katanya, ahli UMNO perlu melihat tiga perkara dalam memilih pemimpin iaitu pertama yang mempunyai integriti tinggi; kedua, pemimpin yang berdaya saing serta berwibawa dan ketiga, pemimpin yang rendah diri serta tidak sombong.
Menurutnya, tiga perkara itu penting untuk dinilai ketika memilih pemimpin sama ada di peringkat tertinggi, bahagian atau cawangan.
"UMNO tidak perlu jadi parti eksklusif, barulah tertambat hati orang Melayu bahawa parti ini didukung oleh rakyat bukan oleh beberapa individu yang ada kepentingan tertentu," katanya.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top