AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 5 Jun 2018 menyiarkan artikel mengulas langkah Kerajaan Pusat me­nubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) selepas ramai pihak menyuarakan hasrat untuk membantu mengurangkan hutang negara berjumlah RM1 trilion.
Artikel bertajuk Semangat yang tersirat di belakang Tabung Harapan Negara yang ditulis oleh Tan Kim Soong disiarkan dalam Kolum ODN halaman 38.
Tidak sempat melakukan persediaan mental lebih awal, tiba-tiba selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) rakyat telah ditad­bir oleh kerajaan baharu. Tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) berpunca daripada perasaan tidak berpuas hati orang ramai terhadap pelbagai isu yang sudah lama terpendam dalam hati mereka.
Pada awalnya, pengundi sebelum turun mengundi masih mempunyai perasaan bimbang sekiranya ‘kerajaan kleptrokrasi’ (kerajaan yang mencuri aset negara untuk kepentingan peribadi) tidak tumbang kerana Malaysia sudah pasti akan menghadapi masa depan malap.
Hari ini setelah berlaku pertukaran kerajaan, rakyat dan kepemimpinan Pakatan Harapan masih lagi berada dalam fasa peralihan bagi membiasakan diri dengan perubahan itu. Berikutan harapan tinggi rakyat, Kerajaan Pusat baharu berusaha menonjolkan imej lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.
Sebab itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hutang negara RM1 trilion, lebih banyak berbanding jumlah yang dinyatakan kerajaan terdahulu. Tujuannya untuk memalukan BN dan mewujudkan persepsi bahawa kerajaan terdahulu telah me­lakukan penyelewengan sehingga menyebabkan Malaysia sehingga ke anak cucu terpaksa menanggung beban hutang yang banyak.
Tindakan itu menyebabkan penyokong BN marah dan tidak dapat menerima angka baharu berkenaan. Akhirnya, Guan Eng mengakui bahawa hutang rasmi negara kekal RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu paling rendah dalam tempoh 10 tahun.
Jumlah RM1 trilion itu adalah setelah dicampur hutang tidak rasmi membabitkan jaminan yang perlu dilangsaikan kerajaan bagi pihak pelbagai entiti seperti Prasarana Malaysia Berhad dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekiranya syarikat terbabit tidak dapat melunaskan bayaran hutang masing-masing.
Meskipun wujud perbezaan pandangan antara penyokong BN dan Pakatan Harapan mengenai jumlah hutang sebenar, tetapi satu hakikat yang harus diakui adalah hutang negara tidak boleh dibiarkan terus meningkat kerana akan menyebabkan Malaysia muflis.
Sebab itu, kerajaan baharu menubuhkan PHM bagi memberi peluang kepada rakyat untuk turut membantu secara sukarela bagi membayar hutang negara.
Walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan penubuhan ta­bung berkenaan dengan alasan memberi gambaran buruk kepada pelabur asing bahawa Malaysia sedang mengalami krisis ekonomi, hakikatnya langkah itu amat baik bagi mendidik masyarakat supaya tidak bergantung kepada hutang untuk hidup mewah.
Langkah sama telah dilakukan di Korea Selatan pada 1997 apabila negara itu terpaksa meminjam daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana mengalami krisis kewangan.
Rakyat negara berkenaan me­nganggap pinjaman IMF itu adalah satu penghinaan dan mereka telah mengadakan kempen me­ngutip sumbangan wang untuk membayar hutang.
Dalam tempoh empat bulan sahaja tabung berkenaan telah mengumpul sebanyak AS$2 bi­lion.
Dalam masa tiga tahun setengah selepas itu, semua hutang IMF dapat dilangsaikan dan Korea Selatan kini menjadi negara kuasa ekonomi baharu yang menakjubkan.
Semangat juang tinggi rakyat Korea Selatan telah membuat seluruh dunia tercengang dan kali ini rakyat Malaysia berpeluang melakukan perkara sama.

MAHU MEDIA MASSA LEBIH BEBAS
AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 31 Mei 2018 pula menyiarkan artikel yang meluahkan harapan agar kerajaan baharu terus mempertahankan kebebasan media massa di negara ini.
Artikel yang ditulis oleh Ke­tua Pengarah Percetakan akhbar berkenaan, Poh Foh Hai bertajuk Berharap hari esok lebih baik ­disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlu halaman 21.
Baru-baru ini, mesyuarat Asia News Network (ANN) telah diadakan di Kuala Lumpur yang dihadiri wartawan dari pelbagai negara. Masing-masing mengucapkan tah­niah kepada rakyat Malaysia kerana berani menukar kerajaan.
Perubahan kerajaan di Malaysia telah memberi semangat kepada rakyat negara-negara jiran terutama Thailand untuk me­lakukan perkara sama. Ini kerana negara itu telah diperintah tentera selama empat tahun dan belum terdapat tanda-tanda peme­rintah mahu menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam.
Di seberang tambak, kerajaan Singapura juga agak tertekan dan memerhati perkembangan politik Malaysia dengan teliti kerana bimbang perkara sama akan berlaku di republik itu.
Dalam pada itu, ketika mesyuarat ANN yang dihadiri wakil 23 syarikat akhbar dari 21 negara Asia, para wartawan mengadu mengenai kebebasan media massa yang semakin merosot. Mi­salnya, di Filipina, pelbagai alasan dicipta untuk tidak memperbaharui lesen syarikat akhbar. Media massa yang tidak berpihak kepada pemerintah dilabelkan sebagai ‘anjing’ dan ‘sampah’. Masalah sama juga berlaku di Kemboja dan Bangladesh.
Di Malaysia, sejak kerajaan baharu mentadbir, wujud perkembangan yang positif. Dalam satu ceramah di Permatang Pauh, Pulau Pinang baru-baru ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para wartawan supaya mengawasi Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi memastikan pihak terbabit tidak mengulangi kesilapan kerajaan BN.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika melawat beberapa syarikat media massa juga bersikap terbuka untuk mendengar pelbagai cadangan yang boleh meningkatkan kebebasan media.
Orang baharu dengan cara baharu. Perkara paling utama yang harus dilakukan oleh pentadbiran baharu adalah memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta akta-akta berkaitan yang telah menyekat kebebasan media massa.