Itu antara aspirasi yang mahu dibawa oleh Exco Pergerakan Puteri UMNO, Nor Hazreena Mohamad Hashim jika berjaya merebut jawatan Ketua Pergerakan Puteri parti itu dalam pemilihan UMNO pada 30 Jun ini.
Hazreena berkata, sudah tiba masanya Pergerakan Sayap Puteri diberi peluang untuk diterajui muka-muka baharu yang lebih segar dalam meraih semula kepercayaan rakyat terhadap parti itu.
“Sebenarnya, Pergerakan Puteri UMNO merupakan satu medan suara yang digagaskan untuk membawa perjuangan wanita muda.
“Bukan sebagai satu singgahsana untuk bersemayam sementara menunggu giliran ke tampuk kuasa. Justeru nadi gerakan ini haruslah kembali menjiwai nadi wanita muda.
“Pemantapan dan pemahaman ideologi politik juga perlu diterapkan dalam jiwa puteri-puteri. Ini merupakan satu langkah memperkasa jati diri ahli-ahli Puteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hazreena merupakan calon nombor satu bertanding bagi pemilihan Ketua Pergerakan Puteri UMNO dan seorang lagi yang disahkan bertanding bagi jawatan sama adalah Naib Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.
Mengulas lanjut, Hazreena berkata, pembaharuan lain yang bakal dibawa olehnya mencakupi keterlibatan golongan muda dalam sosio-ekonomi yang perlu diperhebat bagi menggalakkan kelahiran usahawan-usahawan Melayu yang lebih berdaya saing.
“Ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi taraf hidup masyarakat Melayu. Selain itu, pembudayaan ilmu juga perlu dirai dan disemarakkan sebagai persiapan sayap Puteri dalam menghadapi Perang Persepsi yang menular di medan media sosial.
“Puteri akan bergiat aktif memberikan cadangan dan pandangan kepada pucuk pimpinan UMNO selain memerhati dan memantau pencapaian kerajaan dalam kerangka urus tadbir yang baik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE