Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, atas sebab itu Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan wajar berhati-hati dan tidak menggunakan angka yang tidak tepat hingga boleh menim­bulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

“Saya faham Menteri Kewa­ngan ingin memperbetulkan apa yang dianggap sebagai kepincangan atau kelemahan dahulu tetapi beliau kena berhati-hati dan tak boleh guna angka-angka tidak tepat atau membuat kenyataan yang boleh disalah tafsir.
“Jadi, Menteri Kewangan perlu mengubah sedikit pendekatan beliau agar tidak dilihat sebagai menteri yang hanya membongkar sahaja sebab Menteri Kewangan mesti seseorang yang mampu menjana keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Menteri Kewangan, Guan Eng, supaya bijak mengimbangi antara kepenti­ngan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar penipuan serta penyelewengan kerajaan terdahulu.
Ketua Umum Pakatan Harapan itu berkata, Guan Eng perlu berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia akan digunakan sebagai rujukan oleh pelabur.
Anwar yang juga bekas menteri kewangan turut mencadangkan supaya tanggungjawab membongkar salah laku itu diserahkan kepada menteri atau agensi lain.
Dalam perkembangan sama Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, sekiranya Menteri Kewangan terus mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kerisauan dan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan pelabur dan pasaran dunia, ia boleh menjejaskan kedudukan ekonomi negara.
Kata beliau, lebih-lebih lagi Malaysia sebagai sebuah negara yang terbuka kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan pasaran modal, justeru sekiranya ada kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kebimbangan tidak berasas sudah pasti akan menjejaskan keyakinan kepada negara.
“Jadi, nasihat daripada Anwar sebagai seorang bekas menteri kewangan wajar diterima oleh menteri kewangan,” katanya.