Najib berkata, keluarga beliau mengekalkan kenyataan bahawa barangan yang dirampas oleh pihak polis kebanyakan adalah hadiah daripada rakan-rakan termasuk daripada keluarga diraja asing yang diperoleh sewaktu pelbagai majlis termasuk lawatan rasmi dan acara keluarga seperti ulang tahun serta majlis perkahwinan.
“Beberapa barangan yang disita adalah milik saudara mara serta pihak ketiga, mereka kini telah memulakan proses undang-undang untuk menuntut barangan mereka daripada pihak polis.
“Sama seperti dakwaan hutang inflasi melampau, jumlah dan nilai barangan yang dirampas diperbesar dan dengan sidang akhbar yang diadakan, ia kelihatan dilakukan dengan tujuan untuk membalas dendam dan serangan politik ke atas keluarga saya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengumumkan jumlah rampasan dipercayai mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mencecah RM900 juta hingga RM1.1 bilion. - UTUSAN ONLINE