Menurutnya, keputusan tersebut tidak mudah untuk dibuat, malah sehingga beberapa hari lepas beliau tetap dengan pendirian hanya mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
“Namun setelah memikirkan masa depan dan survival UMNO dalam keadaan hari ini, saya mengambil keputusan bertanding jawatan Presiden UMNO kerana saya mahu ahli-ahli parti mempunyai pilihan tentang ke arah mana UMNO perlu dikemudi.
“Dengan rasa tawaduk dan penuh keinsafan, borang pencalonan saya untuk pemilihan UMNO telah diserahkan ke ibu pejabat UMNO sebentar tadi.
“Saya terdahulunya terpaksa meminta agar borang asal saya yang diserah pada 1 Jun 2018 bagi jawatan Naib Presiden UMNO ditarik balik, borang pencalonan saya yang terkini adalah untuk jawatan Presiden UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan seperti yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya di sini hari ini.
Menurut Khairy, beliau menghormati dua calon yang sah bertanding bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini iaitu Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Saya sangat hormat kepada Tengku Razaleigh Hamzah malah saya telah berjumpa dengan beliau beberapa hari yang lepas dan menggalakkan hasrat beliau bertanding di atas semangat pemilihan terbuka.
“Saya juga sangat hormat kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Dalam UMNO, beliau ibarat seorang abang kepada saya yang sentiasa membantu dan menasihati saya.
“Namun memandangkan pertandingan di peringkat tertinggi UMNO kali ini adalah terbuka, saya mahu para perwakilan parti diberi pelbagai pilihan sebelum mereka membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk UMNO” katanya.
Sementara itu, borang pencalonan Khairy untuk jawatan tersebut telah diserahkan oleh bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Megat Firdouz Megat Junid pada pukul 3 petang tadi. - UTUSAN ONLINE