Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, debat tersebut hanya bertujuan membolehkan ahli-ahli mendapatkan pandangan calon-calon mengenai isu semasa dan mengenali mereka dengan lebih dekat.
“Saya tak rasa debat ini akan pecah-belahkan sesiapa. Ini hanya untuk beri peluang kepada ahli mendengar pandangan calon tentang pelbagai isu.
“Soalan-soalan itu akan ditanyakan oleh pihak Astro, cuma saya tidak tahu lagi siapakah panelnya,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati, di sini hari ini.
Sebelum ini, dua lagi calon merebut jawatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin juga telah menyatakan persetujuan untuk berdebat.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berharap pemilihan parti itu yang bermula hari ini bebas daripada amalan politik wang dan berjalan secara harmoni.
Katanya, politik wang boleh disifatkan karut, merosakkan parti dan menggalakkan rasuah tidak boleh dibiarkan berleluasa dalam parti. - UTUSAN ONLINE