Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd. Fisol Jaafar berkata, tujuan tangan kanak-kanak dicop sekadar menceriakan kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut dan dakwat yang digunakan adalah mudah tanggal.
“Tindakan tersebut dilakukan bukan untuk mengawal jumlah kanak-kanak yang menerima duit raya dan arahan tersebut bukan datang daripada Menteri Besar tetapi diambil oleh urusetia untuk menghiburkan kanak-kanak dengan cap kartun dan binatang.
“Saya juga ingin memaklumkan kanak-kanak itu menerima duit raya sebanyak RM5 seorang bukannya RM2 seorang seperti yang tersebar sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar yang  menunjukkan tangan kanak-kanak yang menerima duit raya dicap pada majlis itu juga telah tular di media sosial sejak semalam.   
Mohd. Fisol berkata, seramai lebih 6,000 kanak-kanak berusia hingga 12 tahun mendapat duit raya dalam majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 35,000 penduduk setempat. - UTUSAN ONLINE