Umpama bunyi mercun, berdentam-dentum perkembangan kerjaya yang menghiasi kanvas seni mereka. Macam-macam ‘warna’ yang tercetus sejak dari awal pembabitan dalam bidang seni hingga ke hari ini. Percikan cerita-cerita kontroversi sampingan yang menambahkan lagi kredibiliti mereka bertiga.
Cerita lebaran pada tahun ini juga tidak kurang hebatnya. Masing-masing mempunyai ceritera tersendiri yang memikat dan memenuhi keinginan semua peminat. Atas dasar itu, buat julung kalinya mereka bertiga ‘disatukan’ dalam sesi fotografi bersama Pancaindera sempena Aidilfitri tahun ini.
Keperluan keluarga jadi pertama
PADA usia muda, pemilik nama penuh Mohammad Aiman Yusri ini sudah pun memikul tanggungjawab untuk membahagiakan kedua ibu bapanya, Yusry Iskhak dan Hazelina Mat Jalil apabila menjadi penyumbang utama membiayai keperluan keluarga.
Tidak pernah berkira dalam soal belanja, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Ku Rela Dibenci ini berharap agar sumbangan yang diperoleh daripada duit persembahan nyanyiannya itu dapat membalas segala jasa orang tuanya selama ini.
“Kunci kejayaan saya adalah membahagiakan orang tua. Restu dan doa daripada merekalah yang membuatkan kita terus bertahan dan dengan mudah mendapat apa yang kita hajati.
“Jangan sesekali lokek dengan keluarga kerana mereka yang akan bantu kita pada saat-saat kita berdukacita kelak,” kata Aiman yang telah memperuntukkan sebanyak RM5,000 untuk belanja keperluan lebaran keluarganya pada tahun ini.
Aiman turut memperuntukkan duit raya sebanyak RM10 kepada adik-beradik dan sepupu yang berusia lebih kecil daripadanya. Bagaimanapun pemberiannya itu tertakluk kepada bilangan hari berpuasa ketika Ramadan. Manakala untuk tetamu biasa pula, penyanyi lagu Ku Sayang Hanya Padamu ini memberikan RM5.
Satu lagi perkara yang menjadi kebiasaan buat penyanyi lagu Permata Cinta ini sempena cuti Hari Raya Aidilfitri adalah bercuti bersama-sama ahli keluarganya yang lain seperti tahun-tahun sebelumnya. Tahun lepas, Aiman bercuti di Kuching dan Sibu, Sarawak.
Percutian itu bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim Aiman sekeluarga sementelah masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan persekolahan.
“Kalau dulu saya yang menaja sepenuhnya belanja percutian keluarga kami. Kini dah ada kakak, Fara Hezel yang turut menyumbang belanja apa yang patut untuk keperluan nanti,” katanya yang meraikan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Kerling, Kuala Kubu Baru, Selangor.
Kisah bongkak, Rusia Janna
BUANG sikap bongkak dan negatif untuk kebaikan sendiri menjadi misi utama Janna yang baru saja menyambut hari jadinya yang ke-23 pada 1 Jun lalu. Enggan bermuka-muka, pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner ini juga mengambil langkah lebih berhati-hati pada setiap tindak tanduknya.
Cukup-cukuplah berperangai seperti kebudak-budakan. Pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf ini mahu hidup lebih tenang dengan tidak memberikan sebarang respon pada sebarang unsur provokasi yang boleh menjatuhkan kredibilitinya sendiri.
“Saya mengalah pada ego sendiri untuk membuang terus tabiat buruk yang sebelum ini gemar respon kepada unsur negatif. Walaupun saya tahu sifat lahiriah manusia ini sukar untuk dibuang, tapi saya nekad untuk berubah.
“Semuanya ini untuk menyelamatkan kerjaya seni saya. Sudah tiba masa saya memulakan langkah ini untuk kebaikan diri seiring dengan status yang dipegang. Sebab saya bukannya artis baharu lagi, jadi kena beringat-ingat,” katanya.
Mengakui kehidupannya semakin tenang dengan keputusannya yang dibuat itu, fokus penyanyi lagu Mungkin Saja ini hanya kepada strategi untuk mengukuhkan lagi kerjaya dengan memilih karya yang benar-benar berkualiti.
Demi kerjaya juga, Janna sanggup berkorban kemeriahan Syawal yang sewajarnya diraikan bersama keluarga tersayang pada tahun ini apabila dia ‘terbang’ ke Rusia sempena Piala Dunia 2018.
Bertindak sebagai duta telefon pintar jenama Vivo, pelakon drama Kau Aku Kita juga meraikan lebaran bersama peminat bola sepak pada untuk dua perlawanan iaitu antara pasukan Rusia dan Arab Saudi serta Portugal melawan Sepanyol.
“Ini adalah kali pertama saya beraya berjauhan dengan keluarga sejak awal menjadi artis enam tahun lalu. Terus terang, perasaannya bercampur-baur. Tapi saya kuatkan diri sepanjang berada di bumi asing, ini kan kerja.
“Lagipun selepas balik Malaysia nanti, bolehlah saya sambung berhari raya bersama keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat,” kata Janna yang ‘terbang’ ke Rusia pada Isnin, 11 Jun dan pulang ke tanah air pada 18 Jun.
Turut menemani Janna adalah adiknya, Nurul Balqish, jurumekap Sharhim Khan dan seorang wakil daripada syarikat pengurusannya, LOL Entertaiment sepanjang berada di Moscow.
Janna akan pulang ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah sebelum kembali ke set penggambaran untuk menjayakan drama Semerah Cinta Humairah pada minggu depan.
Belum boleh satukan lagi
BARANGKALI ramai yang beranggapan, kisah putus tunang Sufian dengan pelakon cantik Elfira Loy menjadi bahan perbualan kalangan sanak saudara dan kenalan rapatnya sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini.
Maklumlah Sufian pula pulang ke kampung di Mersing dan Muar, Johor. Kesempatan itu tidak dilepaskan untuk keluarga terdekat untuk menanyakan penjelasan lanjut daripadanya.
Bagaimanapun tanggapan itu meleset sebaliknya lain yang berlaku. Isu berkenaan langsung tidak diajukan kepada penyanyi yang semakin popular dengan lagu Di Matamu. Malah sejak tiga bulan lalu, isu berkenaan seolah-olah tidak lagi diperkatakan kalangan keluarga terdekat.
“Apa yang berlaku saya mendapat banyak kata-kata semangat daripada mereka. Sudah tidak lagi ‘membawang’ isu yang sama. Kami hanya bercerita tentang perkembangan diri masing-masing dan meluahkan rasa kegembiraan apabila dapat berkumpul.
“Yang cerita lama itu tak payahlah dikenang. Walaupun mengikut perancangan asal, saya beristeri pada Syawal kali ini, tapi siapalah kita hendak melawan takdir Yang Maha Esa. Jadi reda sahajalah,” kata Sufian positif.
Berlapang dada jika ada pihak luar mahu menyatukan semula ikatan rapuh antara Sufian dengan keluarga bekas tunangnya itu namun penyanyi lagu Terasa Ada ini merasakan perkara itu mustahil untuk berlaku buat masa kini.
Menurut pertimbangan lelaki ini, masing-masing memerlukan tempoh masa dan ruang yang besar untuk memujuk hati agar dapat melupakan sepenuhnya insiden yang turut mengheret nama keluarga kedua-dua belah pihak.
“Dalam cadangan untuk menyatukan dua pihak sempena bulan yang mulia ini, hati saya berat merasakan ia tidak boleh terjadi dalam tempoh terdekat ini. Pun begitu, saya berdoa agar dendam yang tersirat ini akan terlerai. Kita sama-sama mencari kebahagiaan,” katanya penuh optimis.
Sufian bertunang dengan Elfira pada 6 Oktober 2017 dan mengikut perancangan akan disatukan pada 23 Mac tahun ini. Status pertunangan pasangan itu mula menjadi buah mulut netizen sejak Disember tahun lalu apabila mereka dikatakan tidak lagi memuat naik gambar bersama seperti mana ketika hangat bercinta.
Selepas berhari raya di Johor, Sufian bersama keluarganya akan menziarahi sanak saudara yang menetap di utara sebelum bekerja semula pada hari raya kelapan.