PEMAIN tengah Brazil, Philippe Coutinho (kanan) bersaing dengan
Jaringan bintang tengah Barcelona, Philippe Coutinho, seminit memasuki waktu kecederaan dan gol penyerang Paris Saint-Germain, Neymar pada minit ke-97 memastikan Brazil meraih tiga mata, sekali gus menembus kekecewaan diikat 1-1 oleh Switzerland dalam aksi pembukaan, Isnin lalu.
Ketika perlawanan kelihatan akan berakhir dengan keputusan seri kedua berturut-turut buat Brazil, Coutinho menjaringkan gol keduanya dalam kempen Piala Dunia apabila melepaskan rembatan cantik untuk meletakkan skuad Selecao di depan.
Beberapa saat sebelum wisel permainan ditiupkan, Neymar mengesahkan kemenangan 2-0 pasukannya apabila dia yang tidak dikawal oleh pertahanan lawan mudah menolak bola menewaskan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas.
Terdahulu, teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) menafikan hajat Brazil untuk mencatat gol pertama selepas dihadiahkan penalti pada minit ke-77.
Begitupun, sepakan itu dibatalkan selepas pengadil perlawanan melihat ulang tayang video yang menyaksikan berlaku hanya sedikit sentuhan dan Neymar sengaja merebahkan badannya dalam kotak penalti.
Kemenangan membolehkan Brazil muncul pendahulu Kumpulan E dengan empat mata, namun kedudukan boleh berubah jika Serbia menewaskan Switzerland pada pukul 2 pagi ini.
Bagi Costa Rica, kekalahan ini menunjukkan jalan keluar buat mereka selepas tewas 1-0 kepada Serbia pada perlawanan pertama. - AGENSI