Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya melalui Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Dr. Muhammad Faiz Na’aman juga telah membuat laporan polis berhubung kontroversi melibatkan Ketua Pemuda PPBM Bukit Bintang, Mohd. Noorhisyam Abdul Karim itu.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi dan berkompromi dengan sebarang penyalahgunaan kuasa yang dilakukan mana-mana pihak dalam PPBM termasuk kepimpinan tertinggi dan sekiranya bersalah tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira pangkat dan jawatan.
“Kita melalui Muhammad Faiz telah membuat laporan polis berkaitan isu ini pada 14 Jun lalu dan hari ini Mohd. Noorhisyam sendiri telah membuat laporan polis bagi mempertahankan dirinya, itu hak dia untuk membuat laporan polis dan siasatan lanjut perlu dilakukan.
“Laporan kepada SPRM hari ini bagi membolehkan siasatan dibuat secara menyeluruh sehingga ke ‘lubang cacing’, kita tidak mahu ada sebarang penyalahgunaan kuasa membabitkan PPBM. Sekarang adalah Malaysia baharu dan perkara seumpama ini perlu dielakkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM berhubung isu berkenaan di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Noorhisyam dituduh mengutip wang sewaan tapak sehingga RM5,000 daripada peniaga bazar di Jalan Masjid India selain didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan 80 lot bazar dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Surat dari DBKL kepada Mohd Noorhisyam menunjukkan bahawa 80 lot telah diluluskan selama sembilan hari dengan bayaran hanya RM6,238, turut terseret dalam skandal tersebut adalah Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun kerana beliau menulis surat kepada DBKL yang menyokong permohonan Mohd. Noorhisyam untuk menyewa lot terbabit. - UTUSAN ONLINE