Idris yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok dan sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana dikatakan mendapat restu Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Ami­rudin memegang jawatan itu tanpa sokongan Pakatan Harapan.

“Serangan’ itu mencetuskan persoalan, apakah bakal berlaku krisis kepemimpinan di Selangor selepas ini kerana bukan lagi satu rahsia wujud dua kem berbeza dalam PKR iaitu antara pasukan Mohamed Azmin dengan kem ‘Segambut’ tetapi dalam isu Menteri Besar, Timbalan Presiden PKR tersebut selangkah ke hadapan.
Bagaimanapun, Amirudin ketika diminta mengulas ‘serangan’ Idris itu dalam sidang akhbar pertamanya selaku Menteri Besar memilih jalan selamat apabila menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan untuk menjawabnya.
“Sesiapa pun boleh memberi pandangan tetapi saya fikir biarlah kepemimpinan Pakatan Harapan menjawabnya, saya serahkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, di Petaling Jaya, Idris juga menerusi sidang akhbar mendakwa Amirudin tidak mendapat sokongan komponen Pakatan Harapan untuk menjadi Menteri Besar kecuali hanya direstui Mohamed Azmin seorang sahaja.