Beliau percaya kemelut dalaman yang bermula daripada pelantikan Amirudin itu mampu dileraikan secara baik.

“Tahniah dengan tugas menggalas amanah parti dan rakyat Selangor. Semalam saya telah menggesa beliau untuk memimpin negeri berdasarkan mandat rakyat, bekerja sebagai satu pasukan dan memperkukuh jamaah.
“Pimpinan dan jentera kerajaan perlu bersih dari rasuah, sifat bermewah, dan pembaziran,” katanya melalui catatan dalam laman Twitter miliknya di sini hari ini.
Hari ini, Amirudin telah mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar Selangor ke-16 bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pelantikan Amirudin, 38, yang dikatakan calon pilihan Mohamed Azmin itu menepati cakap-cakap politik sebelum ini walaupun ada usaha untuk meletakkan ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad melalui restu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seorang lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini ialah ADUN Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei.
Walau bagaimanapun, kedua-duannya iaitu Idris dan Mat Shuhaimi tidak kelihatan semasa majlis angkat sumpah berlangsung dengan ADUN Sungai Kandis itu difahamkan sedang mendapat rawatan di hospital manakala Idris tidak diketahui mengapa beliau tidak hadir.