Beliau yang menjalankan tugas-tugas Presiden berkata, melalui peruntukan yang disalurkan ke semua bahagian dan cawangan, pelbagai program dapat dilaksanakan termasuk berkhidmat kepada rakyat.
Menurut beliau, langkah itu bagi menghidupkan semula program serta aktiviti di peringkat akar umbi dengan melibatkan rakyat.
"Setiausaha Agung sebelum ini telah mengeluarkan surat pekeliling untuk menghentikan bantuan ini kerana kita mahu ketika itu bahagian-bahagian perlu menghidupkan aktiviti melalui dana masing-masing.
"Tetapi ekoran kekangan kewangan diperingkat akar umbi, peruntukkan dana di peringkat pusat akan disalurkan semula kepada UMNO bahagian dan cawangan bagi menghidupkan program UMNO bersama rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perjumpaan Tertutup dan Sambutan Hari Raya Pemangku Presiden UMNO bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian-Bahagian Negeri Sabah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Zahid yang juga calon Presiden berkata, peruntukan tersebut antara lain digunakan untuk perbelanjaan parti bagi menampung kos pentadbiran dan penggajian sekali gus menjalankan aktiviti seperti yang dilakukan sebelum ini.
"Melihat kepada kemampuan kewangan diperingkat sayap dan bahagian yang tidak begitu kukuh, maka Ibu Pejabat mengambil tanggungjawab untuk meneruskan pemberian dana ini," jelasnya. - UTUSAN ONLINE