Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bagaimanapun berkata, sama ada ketujuh-tujuh calon itu layak bertanding atau tidak hanya dapat diketahui esok selepas penilaian dilakukan mengikut kriteria Perlembagaan UMNO serta tapisan Jabatan Insolvensi.
Beliau bagaimanapun berkata, ia menyaksikan borang pencalonan terbanyak yang pernah diterima oleh parti itu bagi merebut jawatan Presiden yang dikosongkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bulan lalu.
“Senarai mereka yang layak bertanding akan diumumkan esok selepas kami melakukan saringan.
“Apapun ia merupakan bilangan pencalonan tertinggi pernah diterima kami bagi jawatan Presiden yang diterima oleh kami,” dalam sidang akhbar yang diadakan di lobi Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Ab. Rauf mengesahkan nama tiga calon yang menghantar borang merebut jawatan Presiden iaitu Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamalauddin Abu Bakar.
Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama empat lagi calon yang menghantar borang pencalonan bagi mengelakkan spekulasi berhubung peluang masing-masing.
Sementara itu katanya, tiga pencalonan diterima untuk merebut jawatan Timbalan Presiden manakala sembilan pencalonan untuk jawatan Naib Presiden. – UTUSAN ONLINE