Dua lagi fokus ialah memansuhkan undang-undang yang menindas termasuk Akta Antiberita Tidak Benar serta menyemak semula tindakan pentadbiran terdahulu melaksanakan kontrak antarabangsa yang bercanggah dengan kepentingan Malaysia.
“Saya akan mengkaji kertas siasatan kes jenayah dan sivil melibatkan skandal 1MDB, tiada siapa yang akan terlepas atau dilindungi,” ujarnya.
Thomas turut memberi jaminan pendakwaan terpilih akan dihapuskan dan semua pihak yang terlibat dilayan secara sama rata.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika melapor diri pada hari pertama bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) di sini sebentar tadi.
Pelantikan Thomas, 66, menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, 68, yang ditamatkan perkhidmatannya mencetuskan pertembungan reaksi sehingga diperdebatkan oleh pelbagai pihak sama ada yang menyokong atau membantahnya.
Awal pagi semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenan pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, baginda telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. - UTUSAN ONLINE