TEO KOK SEONG
Ketua Kluster Sejarah, War­i­san dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pertubuhan itu tidak wajar memberi tekanan sedemikian termasuk mencadangkan supaya wakil keturunan Cina dilantik untuk jawatan menteri atau timbalan menteri di beberapa kementerian yang dianggap penting ke­rana ia tidak selari dengan nafas Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, per­wakilan dalam Kabinet harus me­ngambil kira posisi kependudukan rakyat di negara ini iaitu 70 peratus adalah Melayu dan bumiputera.
“Faktor kaum ma­­­joriti di negara ini harus diambil kira dalam me­lantik menteri dan timbalan menteri selain harus selari dengan nafas Perlembagaan yang secara jelas memperuntukkan hak istimewa dan kedudukan orang Melayu di negara ini perlu dipertahankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Namun demikian katanya, hak-hak bukan Melayu akan tetap dipelihara oleh kerajaan.
“Selama ini pun hak dan kebajikan mereka selalu dilin­dungi de­ngan baik oleh kerajaan terdahulu yang juga diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Oleh itu bukan masanya mana-mana pihak untuk menun­tut hal sebegitu, dan mem­beri tekanan,” katanya.
Semalam, Hua Zong mengemuka­kan cadangan itu supaya Kabinet ba­haru mewujudkan satu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi wakil Cina selain dilantik ke jawatan menteri atau timbalan menteri di beberapa kementerian yang dianggap penting se­perti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Ne­geri.
Hua Zong turut meminta kerajaan mengotakan semua janji pilihan raya termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tol lebuh raya serta mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, pelantikan jawatan dalam Kabinet adalah hak Perdana Menteri dan sebarang keputusan untuk me­lantik sesiapa sekalipun, perbincangan dengan Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan tentunya akan dibuat terlebih dahulu.
Katanya, Dr. Mahathir pasti akan mengambil kira semua aspek agar seiring dengan ekosistem politik tanah air mutakhir.
“Pengalaman 22 tahun mentadbir negara pasti digunakan oleh beliau untuk memastikan kestabilan negara terus terpelihara,” katanya.
Sumber : UTUSAN ONLINE