.... Tular Video Lori ‘PKR’ Cuba Lari Pemeriksaan Polis Hingga Langgar 15 Kenderaan | AAKJ



Tular di media sosial video insiden sebuah lori dikejar polis hasil rakaman saksi kejadian.Kejadian itu mengejut pengguna jalan raya dan membahayakan orang awam apabila sebuah lori muatan berlebihan tersebut enggan melalui pemeriksaan.
Susulan itu, polis dikatakan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian berhampiran sebuah pangsapuri di USJ1, Subang Jaya, semalam.
Memetik sumber, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, lori terbabit yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun malah nyaris melanggar seorang anggota polis selain melanggar 15 kenderaan lain yang diletakkan di sekitar kawasan pangsapuri berkenaan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang cuba mengejar lori berkenaan yang datang dari arah Batu 9, Kajang.
Namun pemandunya bertindak nekad dengan terus memecut kenderaan berat itu hingga ke sebuah kawasan perumahan di USJ1.
Beliau berkata, anggota terbabit seterusnya meminta bantuan IPD Subang Jaya yang mengerah enam kereta peronda polis (MPV) dan dua anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke lokasi kejadian.
“Anggota MPV yang cuba menahan lori itu kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan terbabit. Namun, pemandunya masih terus memecut lori itu,” katanya seperti yang dipetik laporan portal Harian Metro.
Beliau berkata, tindakan melulu lelaki berkenaan menyebabkan lori dipandunya melanggar 15 kenderaan diletakkan di sekitar kawasan flat terbabit.
“Bagaimanapun, lori itu hilang kawalan sebelum terbabas di kawasan berhampiran flat berkenaan. Orang awam yang melihat kejadian itu bertindak menahan dan membelasah suspek sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
“Anggota yang tiba di lokasi kejadian kemudian membawa suspek ke IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam rakaman video berdurasi 37 saat itu, jelas kelihatan lori terbabit yang meletakkan bendera sebuah parti politik di bahagian hadapannya, masih memecut walaupun anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu.
Mohamad Azlin berkata, siasatan dan tindakan sedang diambil pihak polis atas kesalahan trafik serta jenayah sekiranya ada.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan komen negatif berhubung kejadian itu yang tiada kena-mengena dengan politik.
-PRU14.TV
Video 

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top