.... Tujuh Pusat Mengundi Di Terengganu Tutup Awal | AAKJ




Tujuh daripada 401 pusat mengundi di Terengganu akan ditutup awal, iaitu jam 3 petang ini.Pusat mengundi berkenaan ialah di SK Pulau Perhentian (Besut), SK Pulau Redang (Setiu), SK Kuala Jenderis (Hulu Terengganu), SK Tepus (Dungun), SK Kampung Shukor (Dungun), SK Jongok Batu (Dungun) dan SK Sungai Pergam (Kemaman).
Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Nik Andy Suwardy Amry, menasihati pengundi yang akan mengundi di pusat berkenaan supaya keluar mengundi awal.
Katanya, pusat mengundi lain di negeri ini akan dibuka sehingga jam 5 petang.
“Pengundi di pusat mengundi yang ditutup pada jam 5 petang perlu keluar mengundi secara berperingkat mengikut kesesuaian masa mereka dalam tempoh ditetapkan agar tidak berlaku kesesakan di pusat mengundi,” katanya.
SPR turut mewujudkan dua pusat mengundi bagi satu daerah mengundi (DM) di Terengganu iaitu DM Petai Bubus (Kuala Nerus) di Kompleks Usahawan Terengganu dan SK Kampung Tengah; DM Bukit Tunggal (Kuala Nerus) di Balai Raya dan Futsal Seberang Baruh dan SK Bukit Tunggal.
DM Tasik (Marang) di Balai Raya Wakaf Dua dan SK Tasek, DM Bukit Kuang (Kemaman) di SK Bukit Kuang dan SMK Bukit Kuang, DM Binjai (Kemaman) di SK Binjai dan SMK Binjai, DM FELDA Neram 1 (Kemaman) di SK FELDA Neram 1 dan SK Kampung Baharu,” katanya.
Sementara itu, tinjauan NSTP mendapati Presiden PAS yang juga calon Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang, jam 8 pagi.
DATUK Seri Abdul Hadi Awang mengundi di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang. – Foto Ghazali Kori
Anak Hadi yang juga calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil pula tiba jam 8.15 pagi untuk mengundi di sekolah sama.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga calon kerusi DUN Seberang Takir, tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir bersama isteri, Toh Puan Halina Zakaria jam 8.55 pagi untuk mengundi.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga calon BN di DUN Kijal pula menjadi orang pertama mengundi di SK Teluk Kalong, Kijal tepat jam 8 pagi.
Calon BN untuk Parlimen Besut yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh tiba di SK Seberang Jertih jam 9.30 pagi.
Calon BN untuk Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menjadi pengundi terawal tiba di pusat pengundian di SK Bukit Diman pada jam 7.45 pagi dan selesai mengundi jam 8.05 pagi.
Beliau diiringi isteri, Toh Puan Halipah Ahmad dan ibunya, Ramlah Mat Zin, 73.
Calon PKR Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Batu Buruk, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah pula mengundi di SK Seri Budiman II, Kuala Terengganu jam 8.35 pagi.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top