Bekas Pesuruhjaya SPRM itu turut menyifatkan kenyataan Shukri itu sebagai satu tuduhan yang teramat berat ke atas dirinya sepanjang tempoh hampir 25 tahun berkhidmat di dalam perkhidmatan awam Malaysia.
“Saya telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen yang tinggi dan saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai pengkhianat negara.
“Walau bagaimanapun, saya amat terharu dan ingin memaklumkan bahawa beliau (Shukri) telah menghubungi saya pada pagi ini melalui aplikasi Whatsapp,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Dzulkefli, sebagai seorang yang berjiwa besar, Shukri telah memohon maaf kepada beliau di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap dirinya dalam sesi sidang media tersebut semalam.
“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau dan kami berdua menyifatkan bahawa isu ini telah pun selesai,” katanya.
Semalam, Shukri dalam sidang akhbarnya yang dihadiri lebih 100 petugas media mendedahkan beliau menerima ancaman bunuh ketika menyiasat kes anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn. Bhd. dan terpaksa melarikan diri ekoran daripada ancaman tersebut.
Shukri turut menyifatkan Dzulkefli sebagai pengkianat negara kerana tidak meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak SPRM dan turut menerima pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga mendorong beliau bersara awal.-UTUSAN ONLINE