Najib dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau semalam berkata, tindakan sebegitu hanya menakutkan agensi penarafan kredit dan menghilangkan keyakinan pelabur terhadap institusi negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM).
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar perlunya untuk mewujudkan garis pemisah yang jelas antara mainan politik dan fakta.
“Mencampur adukkan keduanya akan menimbulkan keraguan tentang kredibiliti dan profesionalisme institusi yang terlibat dalam penyediaan fakta yang selama ini mematuhi undang-undang negara dan piawaian antarabangsa.
“Hasil daripada kenyataan-kenyataan membimbangkan dan mengelirukan ini, indeks Bursa Malaysia jatuh paling banyak di antara semua pasaran saham di seluruh dunia yang mengakibatkan berpuluh-puluh bilion ringgit dalam nilai pasaran hilang dalam satu hari,” katanya.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kebimbangan terhadap hutang awam adalah merupakan faktor penyumbang kejatuhan saham negara menurut portal berita perniagaan The EdgeMarkets.
“Sudah pasti kejatuhan ini akan menjejaskan dana-dana kita seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PNB (Permodalan Nasional Berhad) dan ini boleh menurunkan kadar dividen bagi anggotanya tahun ini.
“Begitu juga, mengeluarkan kenyataan bahawa kita tidak perlu bimbang tentang penarafan kredit negara kita yang diturunkan akan mengakibatkan kehilangan keyakinan terhadap institusi negara kita,”katanya.
Beliau berkata, penurunan nilai akan menyebabkan kos pembiayaan hutang menjadi lebih tinggi iaitu sebanyak RM10 bilion setahun ke atas negara dan ia menyebabkan bank membuat pinjaman dari pasaran antarabangsa untuk menampung kerugian.
Katanya, ia juga boleh menyebabkan aliran keluar modal yang besar daripada pelabur asing dan membuatkan nilai Ringgit menjadi semakin lemah.
“Walaupun anda (kerajaan Pakatan Harapan) mungkin mahu memfitnah dan menyalahkan saya untuk memberikan persepsi mengenai kedudukan kewangan yang sangat teruk, untuk membenarkan mengapa anda tidak dapat menunaikan janji manifesto anda dan memotong perkhidmatan awam secara besar-besaran, anda harus ingat bahawa negara dan rakyat mesti didahulukan.
“Anda juga boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan mengenai 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) atau memberitahu separuh cerita mengenainya untuk menyalahkan saya, tetapi masa untuk bermain politik sudah berlalu.
“Kata-kata yang dituturkan ketika berkuasa menyebabkan kerugian sebenar kepada negara dan rakyat, seperti yang terbukti hari ini menerusi kejatuhan pasaran saham. Ia bukan mengenai undi lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE