Pengerusi Alumni Pensyarah dan Pelajar IPG Kota Bharu, Yaacob Ismail berkata, Kelantan hanya mempunyai satu IPG sahaja berbanding negeri lain yang mempunyai dua IPG.
Namun kata beliau, pihaknya kesal apabila IPG Kota Bharu tetap dipilih sebagai antara sembilan IPG yang perlu ditukar fungsi kepada Kolej Vokasional sehingga menjejaskan 220 kakitangan selain menyusahkan anak Kelantan kerana perlu ke negeri luar untuk berkursus.
“Selain sebagai pusat latihan guru sepenuh masa, IPG Kota Bharu berperanan sebagai pusat latihan peningkatan profesionalisme bagi 32,000 guru sedia ada di seluruh negeri ini, selain menjadi pusat temuduga dan ujian bakal guru.
“Penutupan institut ini menyebabkan hampir 3,000 rakyat Kelantan yang mahu menjadi guru terpaksa menduduki ujian dan temuduga di negeri luar. Ini membebankan rakyat terutama golongan miskin, sedangkan kerjaya sebagai guru itu belum tentu mereka dapat,” katanya.
Yaacob berkata, perkara itu telah disuarakan beberapa kali oleh wakil rakyat dan ahli politik dari Kelantan namun kerajaan terdahulu seolah-olah memekakkan telinga terhadap rayuan mereka tanpa menjelaskan alasan yang munasabah.
Malah katanya, pihaknya mendapat sokongan daripada Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Mohamad Fa-Iz Petra yang turut mengutuskan sepucuk surat menerusi setiausaha sulitnya kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta IPG Kota Bharu dikekalkan.
“Cadangan kami kepada Kementerian Pendidikan ialah, kekalkan IPG Kota Bharu sebagaimana fungsi asalnya, selaras dengan usianya yang mencecah 64 tahun serta menghantar semula pelajar ke IPG Kota Bharu yang sudah dua tahun tidak menerima pelajar.
“Kami juga mencadangkan kementerian memberi keutamaan mengubah fungsi IPG di negeri yang sudah mempunyai dua IPG, bukannya di Kelantan yang hanya mempunyai satu IPG,” katanya.
Sementara itu, Pengarah IPG Kota Bharu, Hashim Deraman berkata, memandangkan tiada arahan rasmi IPG Kota Bharu dikekalkan, proses penukaran institut tersebut kepada Kolej Vokasional telahpun berjalan secara berperingkat bermula bulan ini. - UTUSAN ONLINE