.... Projek HSR kini sah dibatalkan | AAKJ



Keputusan Putrajaya membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang mengubungkan Singapura dan Kuala Lumpur adalah muktamad, kata perdana menteri.
Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, pampasan yang dikenakan terhadap kerajaan kerana membatalkan perjanjian dimeterai sebelum ini mencecah nilai setengah bilion ringgit.
"Ini adalah keputusan muktamad, tapi ia akan mengambil masa kerana kerajaan mempunyai perjanjian dengan Singapura.
"Saya difahamkan ia (bernilai) hampir RM500 juta," katanya kepada media pada sidang media di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya petang tadi.
Projek HSR dikatakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi inisiatif perdana menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak. Ia dilaksanakan pada 2010.
Perjanjian dua hala antara Putrajaya - Singapura untuk projek HSR ditandatangani enam tahun kemudian.
Dua rakan kongsi untuk melaksanakan projek itu - Malaysian Resources Corp Bhd-Gamuda Bhd dan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd-TH Properties Sdn Bhd menandatangani kerjasama mengenainya bulan lalu.
Projek tak perlu
Apabila siap sepenuhnya perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura hanya mengambil masa 90 minit.
Kata Dr Mahathir, projek HSR itu tidak membawa faedah kepada negara selain memendekkan tempoh perjalanan di antara kedua-dua lokasi, serta menelan jumlah wang yang sangat besar.
"Kerajaan tidak akan mendapat untung sama sekali daripada operasinya," kata perdana menteri.
Ditanya sama ada kerajaan Singapura sudah dimaklumkan, atau beliau akan bertemu rakan sejawatannya mengenai hal itu, Dr Mahathir berkata: "Saya tak tahu."
Namun kata anggota parlimen Langkawi itu kerajaan akan cuba meminimumkan kos sehabis mungkin dalam langkah pembatalan berkenaan.


Sebelum ini dalam temu bual bersama Financial Times, Dr Mahathir memberitahu HSR itu adalah satu daripada projek kerajaan yang "tidak perlu".
Justeru katanya langkah penjimatan perlu diambil bagi mengelakkan negara muflis.
"Kerajaan perlu mengetepikan beberapa projek yang tidak perlu, misalnya projek HSR yang menyebabkan kerajaan Malaysia berbelanja RM110 bilion, dan tidak akan menguntungkan walau satu sen," katanya.
-malaysiakini

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top