Pengarah Pusat Penyelidikannya, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, kerajaan baharu ini seperti tergopoh-gapah lebih-lebih lagi dalam soal siasatan dakwaan kesalahan-kesalahan dan memberhentikan projek-projek kerajaan terdahulu.
Katanya, PH sebenarnya tidak menjangka mereka akan diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Malaysia dalam PRU-14 baru-baru ini.
“Pembentukan Kabinet jelas sekali kelam-kabut yang menyebabkan kementerian-kementerian sedia ada masih belum lengkap.
“Lebih malang, seseorang yang telah pun mengangkat sumpah menteri besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tiba-tiba dinamakan sebagai menteri di peringkat pusat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dipetik laporan Malaysiakini. - UTUSAN ONLINE