.... PH perlu kaji institusi Raja-raja selepas SPRM mengadu ‘hampa’, kata Kadir Jasin | AAKJ



PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin perlu menilai semula tindak balas Raja-raja Melayu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadu “hampa” dengan tindak balas Majlis Raja-raja terhadap aduan berkenaan 1MDB, kata bekas pengarang terkenal Datuk A Kadir Jasin.
Dalam satu artikel di Sinar Harian, ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan itu merujuk kepada sidang media Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull 22 Mei lepas yang mendakwa SPRM hampa dalam usaha mendapatkan campur tangan Majlis Raja-raja.
Shukri mendedahkan pihaknya menemui Majlis Raja-raja 2 kali untuk memaklumkan siasatan berkaitan 1MDB dan anak syarikat, SRC Interntional, yang dikaitkan dengan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya tidak berani mengatakan sejauh mana percubaan meminta bantuan Raja-raja itu dibuat. Yang saya masih ingat pada 5 Oktober 2015, Raja-raja mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan mempercepatkan siasatan kes 1MDB dan mengambil tindakan wajar ke atas pihak terbabit.
“Saya tidak tahu sejauh mana titah itu dipedulikan. Yang kita tahu ialah tidak sampai 4 bulan kemudian, peguam negara baru ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengisytiharkan tidak ada kes jenayah melibatkan 1MDB,” katanya.
Kadir berkata, dalam konteks lebih luas, mungkin baik menilai semula tindak balas Raja-raja terhadap skandal itu, dan hal lain yang melibatkan institusi Raja “kerana negara kini ditadbir oleh kerajaan baru”, dan menambah, “kerajaan mungkin dituduh gagal menjalankan tugas kalau institusi Raja berperlembagaan tidak dikaji dan difahami.”
“PH mendakwa kerajaan pimpinan Najib menodai dan merosakkan banyak institusi utama negara dan berjanji melakukan reformasi institusi. Maka wajarlah institusi Raja dikaji dan, jika perlu, direformasi,” katanya.
Kadir berkata kuasa dan kegiatan Raja-raja Melayu tertakluk kepada perlembagaan, sumpah jawatan mereka dibuat dengan nama Allah dan mereka dibayar gaji oleh rakyat dan keperluan rasmi mereka ditanggung oleh kerajaan.
“Dalam keadaan hidup rakyat susah dan kewangan negara sempit, kerajaan tidak boleh sekali-kali membazirkan wang untuk sesiapa pun. Biarlah saya kata macam ini: Istana-istana yang ada itu sudah mewah,” katanya.
“Raja-raja juga tidak kekal. Yang di-Pertuan Agong misalnya boleh disingkirkan oleh Majlis Raja-raja,” tambahnya.
Kadir berkata pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil tahu pembabitan istana dalam kegiatan tidak rasmi seperti perniagaan dan sosial, dalam usaha “mempertahankan hak rakyat jelata dan melindungi institusi negara” daripada sebarang bentuk pencabulan.
“Kalau perlu kita kaji semula perlembagaan dan kontrak sosial bagi mengambil kira suasana dan realiti yang ada pada hari ini bagi mengharmonikan perjanjian antara Raja dan rakyat jelata,” katanya.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top