Najib Tun Razak
NAJIB


















Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua angka-angka tersebut telah diterbitkan dalam Laporan Perbendaharaan, Laporan Bank Negara Malaysia, Laporan Akauntan Negara, Laporan Audit Negara setiap tahun tanpa gagal.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan memberitahu, analisis-analisis pasaran, para penganalisis ekonomi dan para pelabur turut menyedari mengenai angka-angka berkenaan yang mana ia telah ditadbir urus dengan baik seperti yang disebut-sebut oleh Menteri Kewangan sendiri.
“Oleh itu, kami tidak menyembunyikan RM300 bilion hutang atau menipu angka-angka seperti yang dituduh. Kami sentiasa bersikap jujur seperti mana yang diterima secara universal.
“Sekarang, kebenaran telah terbukti apabila kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan mengenai hutang negara RM1 trilion. Kami mengucapkan tahniah kepada kerajaan baharu kerana menakut-nakutkan pasaran yang menunjukkan kejatuhan bursa saham yang menjunam teruk minggu ini, mengikat 14 hari berturut-turut aliran keluar modal asing,” katanya melalui catatan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Guan Eng dalam sidang akhbar semalam mendedahkan setakat 31 Disember lalu, hutang RM1 trilion yang diumumkan kerajaan adalah melibatkan hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion manakala sejumlah RM199.1 bilion pula membabitkan jaminan yang perlu dilangsaikan kerajaan bagi pihak pelbagai entiti yang tidak dapat menunaikan tuntutan hutang terbabit.
Jaminan kerajaan itu meliputi entiti seperti Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 bilion); Govco Holdings Bhd (RM8.8 bilion); Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 bilion); Malaysia Rail-Link Sdn Bhd (RM14.5 billion) serta bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggarkan RM38 bilion. – UTUSAN ONLINE


© Utusan Melayu (M) Bhd