Pengampunan Diraja merujuk kepada pengampunan melalui kuasa budi bicara yang lahir daripada institusi beraja dan merupakan kuasa yang sinonim dengan institusi beraja.
Daripada perspektif sejarah, ia kuasa prerogatif raja, seperti kuasa untuk membuat pengisytiharan perang dan menentukan hukuman mati. Bagi negara yang tidak beraja, kuasa pengampunan dilaksanakan oleh presiden.
Kuasa pengampunan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Negeri yang juga kuasa yang diwarisi zaman berzaman oleh institusi beraja negara kita.
Kuasa pengampunan diraja dinyatakan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Ia memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, menunda hukuman dan melegakan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan
di Mahkamah Tentera dan kesalahan-kesalahan di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Perkara 42 juga memperuntukkan kuasa pengampunan bagi raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri bagi kesalahan yang dilakukan di negeri masing-masing tetapi tidak termasuk kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera.
Perkataan ‘pengampunan’ yang digunakan pada tajuk Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukan semata-mata merujuk kepada pengampunan kepada kesalahan yang dibuktikan, tetapi ia juga merangkumi kuasa untuk menunda hukuman atau melegakan
hukuman, iaitu termasuk meremitkan, menggantung dan meringankan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah dalam proses keadilan.
Implikasi undang-undang yang paling besar impaknya dalam hidup orang yang telah dijatuhkan hukuman salah dan telah menjalani sebahagian besar hukuman tersebut ialah dia telah bebas dari semua tuduhan yang dijatuhkan kepadanya dahulu.
Perkara berkaitan hilang kelayakan seseorang untuk bertanding sebagai seorang calon bagi Dewan Rakyat, pada peringkat Persekutuan, dinyatakan dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 48(1)(e), seseorang itu hilang kelayakan selepas disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan, dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun, atau denda tidak kurang daripada RM2,000, dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.
Biarpun begitu, Perkara 48(3) menyatakan, antara lain, kehilangan kelayakan seseorang di bawah Perkara 48(1)(e) ini boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan, jika tidak dibatalkan sedemikian, hendaklah terhenti pada akhir tempoh lima tahun yang bermula tarikh orang itu dilepaskan daripada jagaan atau dari tarikh denda itu dikenakan ke atas orang itu.
Perkara 48(3) ini tidak menggunakan istilah ‘pengampunan’ tetapi ia menggunakan istilah ‘dibatalkan’ dan tidak menyatakan mengenai perlu wujudnya sebuah Lembaga Pengampunan. Oleh yang demikian, Perkara 48(3) semata-mata boleh
diaplikasikan untuk membatalkan hilang kelayakan seseorang untuk dicalonkan sebagai Ahli Dewan Rakyat.
Contohnya pemimpin DAP Lim Kit Siang yang pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka pada tahun 1969. Kerusi itu terpaksa dikosongkan kerana kesalahan pilihanraya. Walau bagaimanapun, Lim Kit Siang dibenarkan untuk
kekal di kerusi itu setelah mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuang Agong.
Merujuk kes Anwar, pihak yang berkuasa untuk memberi pengampunan diraja adalah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V disebabkan kes ni berlaku di Kuala Lumpur. Prosedur memperolehi pengampunan diraja dimulai dengan
mengenalpasti seseorang itu didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum dengan suatu hukuman.
Ini bermakna seseorang itu telah melalui proses perbicaraan di mahkamah. Selepas semua proses di mahkamah berakhir, dan orang itu telah dipertanggungjawabkan ke atas perbuatan jenayah yang didakwa telah dilakukannya, maka dia hendaklah menjalani hukuman bagi kesalahan yang disabitkan oleh mahkamah.
Selepas dipertanggungjawab bagi suatu kesalahan jenayah oleh mahkamah barulah proses pengampunan diraja boleh dijalankan. Situasi ini menunjukkan pengampunan diraja ialah satu proses yang lebih melibatkan belas kasihan atau perasaan
ihsan, dan bukan semata-mata proses keadilan jenayah.
Ini tidak asing di dalam prinsip undang-undang di mana undang-undang Inggeris juga menggunakan prinsip ‘equity’ dalam mengimbangi hukuman yang dijatuhkan. Bekas pegawai PetroSaudi International, Xavier Justo juga turut mendapat pengampunan diraja Thailand. Pada November 2017,
Sultan Perak berkenan memberikan pengampunan diraja kepada dua orang banduan yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati, supaya diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.
Terdahulu, bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Mokhtar Hashim dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah atas kesalahan membunuh wakil rakyat Gemencheh, Datuk Mohd Taha. Namun, Mokhtar mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan.
Kuasa pengampunan diraja ialah kuasa budi bicara institusi beraja. Namun Perkara 42(4)(a) Perlembagaan Persekutuan meletakkan syarat bahawa kuasa pengampunan itu hendaklah dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.
Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42(5), hendaklah dibaca secara bersama dengan Perkara 42(11) iaitu Lembaga Pengampunan terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan,
Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini disusuli dengan Perkara 42(8) di mana Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Namun, mengikut Perkara 42(9), sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, Lembaga
Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat yang mungkin diberikan Peguam Negara mengenai perkara itu.
Perlukah proses pengampunan diraja dimulakan dengan suatu permohonan yang dibuat oleh mana-mana orang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah? Contohnya dalam kes Anwar, perlukah beliau sendiri membuat permohonan pengampunan diraja? Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri tidak menyediakan secara jelas mengenai prosedur permohonan pengampunan.
Perkara 48(4)(c) bagaimanapun menyebut bahawa ia perlu dilakukan melalui suatu petisyen bagi pengampunan. Petisyen ini disiratkan sebagai perlu ada permohonan daripada mana-mana pihak untuk pengampunan dan tidak semestinya
daripada orang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah.
Jelas menunjukkan bahawa petisyen boleh dibuat oleh banduan tersebut, keluarga, peguam atau pihak kedutaan (untuk warga asing). Mengikut Peraturan 113, Peraturan Penjara 1953 (Pindaan 2000), seseorang yang sedang menjalani hukuman boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan.
Prosesnya menurut turutan seperti berikut:
1. Petisyen dihantar kepada Pengarah Penjara yang banduan tu jalani hukuman.
2. Kemudian, petisyen tu dikemukakan kepada Ibu Pejabat Penjara Malaysia.
3. Ibu Pejabat Penjara akan buat semakan dan serahkannya kepada Urusetia Lembaga Pengampunan.
4. Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong/Sultan akan bersidang dan buat keputusan berkenaan dengan petisyen tersebut.
Bolehkan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan di negeri-negeri mengambil inisiatif sendiri, tanpa menunggu petisyen bagi permohonan pengampunan untuk memberikan pengampunan?
Merujuk kepada sejarah kewujudan kuasa pengampunan dalam institusi beraja, ia mungkin dapat dilaksanakan dengan inisiatif Yang di-Pertuan Agong atau Sultan di negeri-negeri.
Mereka yang mendapat pengampunan diraja merupakan insan yang sangat bertuah kerana mendapat peluang kedua untuk menjalani kehidupan ini. Nikmati dan jalanilah hidup ini dengan lebih bersyukur.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
-UTUSAN ONLINE