Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan memberitahu, kerjasama antara kedua-dua pihak juga bertujuan bagi mengumpul bahan bukti serta mengesan saksi-saksi di Singapura secepat mungkin.
"Selain itu, pasukan ini juga akan melakukan jejak kewangan (money trail) bagi mengesan wang serta aset-aset yang masih wujud," kata kenyataan tersebut yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala berkenaan, di sini hari ini.
Pasukan Petugas Khas 1MDB itu yang bermesyuarat untuk kali keempat dipengerusikan secara bersama oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.
Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat yang diadakan hari ini juga telah dihadiri oleh sembilan pegawai kanan pasukan siasatan Singapura terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, Autoriti Kewangan Singapura (MAS).
Katanya, bagi pihak Malaysia pula diwakili oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB yang terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).-UTUSAN ONLINE