Beliau berkata, ini kerana sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, Pakatan Harapan meletakkan ekonomi negara sebagai dalam keadaan krisis dan gagal.
"Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar dari kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum PRU-14 kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh. Cuma dua minggu lebih sahaja?" soalnya dalam laman Facebook, di sini hari ini.
Najib berkata demikian bagi menyelar kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada pemberita semalam yang menegaskan asas ekonomi negara kekal kukuh, sektor kewangan stabil, sektor perbankan mempunyai permodalan yang kukuh dan kecairan yang mencukupi dalam pasaran.
Guan Eng berkata, pihaknya percaya dengan pentadbiran baharu yang berfokus kepada kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan, keyakinan pelabur akan kukuh dari semasa ke semasa.
Menteri Kewangan itu turut mengumumkan jumlah hutang kerajaan Persekutuan dan liabiliti berjumlah RM1.087 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 31 Disember 2017.
Guan Eng mendedahkan, daripada jumlah itu, hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM885.9 bilion yang mana ia merangkumi hutang rasmi kerajaan Persekutuan RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Jaminan Kerajaan RM199.1 bilion atau 14.6 peratus daripada peratus KDNK. - UTUSAN ONLINE