Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Arul Kanda yang memegang jawatan itu sehingga 20 Jun ini diarahkan memberi taklimat berkenaan pada minggu depan.
“Oleh itu saya mengarahkan Arul memberi taklimat untuk menjelaskan sama ada 1MDB mampu membayar jumlah itu, yang perlu dibayar minggu depan,” katanya.
Guan Eng juga mahu menemui ahli lembaga pengarah 1MDB, Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob, bagi memberi taklimat kepada MoF mengenai kedudukan 1MDB.
Sedang jelas Guan Eng, Kementeian Kewangan telah membayar obligasi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak April tahun lepas, tidak sebagaimana dakwaan Arul Kanda syarikat berkenaan mampu menjelaskan hutangnya.
Beliau berkata, berdasarkan senarai pembayaran oleh MoF, bagi pihak 1MDB, berjumlah RM6.98 bilion, termasuk pembayaran yang dibuat kepada Petroleum Investment Company (IPIC) yang merupakan sebahagian daripada Perjanjian Penyelesaian berjumlah RM5.05 bilion.
"Ini mengesahkan syak wasangka orang ramai bahawa 1MDB sebenarnya memperdaya rakyat Malaysia dengan mendakwa hutang itu dibayar menerusi 'proses rasionalisasi yang berjaya'.
"Selama ini MoFlah yang membayar hutang 1MDB," katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan
Beliau berkata, senarai pembayaran setakat ini hanya melibatkan faedah, pembayaran kupon dan pendahuluan daripada IPIC.
"Ini belum mengambil kira berbilion ringgit hutang yang perlu dibayar mulai tahun 2022.
"Saya dimakumkan bahawa selain RM143.75 juta yang perlu dibayar pada akhir bulan ini, sejumlah RM810.21 juta faedah perlu dijelaskan antara bulan September dan November tahun ini," katanya.
Terdahulu Guan Eng mengadakan siri mesyuarat bersama semua pegawai kanan Perbendaharaan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, mengarahkan kajian mendalam dilakukan mengenai butiran hutang dan liabiliti 1MDB dan mencadangkan langkah untuk menyelesaikan krisis yang berlaku akibat skandal tersebut.
"Kami juga akan mengemukakan hasil semakan itu kepada pasukan petugas 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya.

Menteri kewangan itu berkata, antara perkara segera yang perlu diselesaikan ialah pembayaran faedah ke atas pinjaman 1MDB.
“Ini disebabkan RM143.75 juta perlu dibayar oleh 1MDB pada 30 Mei tahun ini,” katanya.
-UTUSAN ONLINE