.... Mahalnya ayam... | AAKJ





HARGA ayam di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, naik mendadak pada bulan Ramadan daripada RM7 kepada RM8 sekilogram menyebabkan penjualannya merosot.
Dipercayai harga ayam naik berbanding sebelum ini kerana peniaga memperoleh bekalan daripada pemborong dengan harga antara RM7.50 hingga RM7.80 sekilogram.
Tinjauan NSTP di pasar berkenaan mendapati, ayam yang dijual kurang permintaan daripada pembeli kerana ia dijual dengan harga RM8 sekilogram berbanding sebelum Ramadan sekitar RM7 sekilogram.
Peniaga, Mariam Abdullah, 58, berkata, walaupun kenaikan ayam itu tidak seperti tahun lalu iaitu sekitar RM9 sekilogram, namun harga tahun ini turut meningkat pada Ramadan.
Mariam yang berniaga ayam sejak 10 tahun lalu berkata, ia menyebabkan penjualan ayam sedikit merosot kerana kekurangan pelanggan.
"Jika sebelum ini saya mampu menjual lebih 50 ekor ayam, namun sejak empat hari lalu nak habiskan 20 ekor ayam pun susah.
"Ini disebabkan permintaan yang kurang dan pengguna lebih gemar membeli ayam yang dijual di luar pasar berbanding dalam pasar ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Peniaga ayam, Zarina Abdullah, 49, berkata, situasi kenaikan harga ayam kerap berlaku pada awal Ramadan kerana harganya naik hampir setiap hari pada kadar 30 sen.
Katanya, ia menyebabkan peniaga tidak mendapat untung, namun terpaksa menjual ayam kerana ini adalah sumber pendapatan.
"Kami tiada pilihan kerana turut memperoleh keuntungan yang kecil saja sekitar 20 sen hingga 50 sen bagi sekilogram.
"Kami harap pihak berkenaan membuat pemantauan harga di peringkat pengilang bagi mengelakkan harga terus naik hingga boleh membebankan peniaga kecil dan pembeli," katanya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top