Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, peralihan kuasa politik Kerajaan Pusat tidak bermakna Pakatan Harapan (PH) boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki sehingga tidak mematuhi undang-undang.
Katanya, rakyat akan menilai segala tindak-tanduk kerajaan baharu dan tidak akan berdiam diri jika wujud penyalahgunaan kuasa.
“Rule of law atau undang-undang yang diluhurkan mesti menjadi petua utama, saya yakin Anwar sendiri akan memberikan penegasan dalam hal ini apabila beliau berkuasa namun diharap proses pengampunannya berjalan dengan lancar dan tidak menemui sebarang masalah, jangan sehingga orang kata kerajaan salah guna kuasa pula.
“Saya nasihatkan jawatankuasa yang terlibat dalam hal ini meneliti semua prosedurnya, jangan melangkaui satu pun prosedur supaya Yang di-Pertuan Agong boleh membuat keputusan mengikut lunas perundangan yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Persidangan Antarabangsa Hubungan Tamadun Melayu-Tamadun China, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai usa­ha PH yang mahu membebaskan Anwar menerusi pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang dijangka esok.
Dalam pada itu, Rais juga mengulas bagaimana Anwar perlu membawa satu dasar baharu dan tersendiri bagi memastikan rak­yat boleh menerima beliau sebagai Perdana Menteri pada masa akan datang.
“Orang mahu mendengar apakah corak dan dasar yang akan dibawa oleh beliau berhubung masa berdepan serta aspirasi baharu sebab mahu tidak mahu, Anwar akan menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau adalah hembusan baharu dalam arena politik negara.
“Yang penting adalah bagaimana aspek kekitaan dalam Pakatan Harapan dapat dikekalkan dan memastikan kelemahan-kelemahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak berulang,” katanya.
-UTUSAN ONLINE