.... BN Pusat perlu campur tangan segera | AAKJ



KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat perlu campur tangan bagi menyelesaikan krisis pelantikan Menteri Besar Perlis.
Veteran UMNO dari Perlis, Tan Sri Azmi Khalid menyifatkan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis kini menyebabkan krisis Perlembagaan di negeri itu.
Katanya, secara praktikalnya memang BN Perlis mempunyai hak menentukan calon Menteri Besar, namun apabila berlaku krisis ia perlu dirujuk kepada BN Pusat.
"Ini tidak sepatutnya terjadi lebih-lebih lagi BN sudah menang dua pertiga pada pilihan raya umum yang lalu. Apabila timbul krisis seperti ini, BN Negeri sepatutnya merujuk kepada BN Pusat.
"Soalnya, adakah perkara ini sudah dirujuk?
"Setakat ini, BN Pusat mahupun UMNO Pusat tidak memberikan reaksi sedangkan rakyat sedang memerhati," katanya dihubungi NSTP, hari ini.
Beliau ditanya mengenai krisis pelantikan Menteri Besar Perlis yang mana Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Balai Menghadap, Istana Arau, semalam dibantah sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.
Sembilan ADUN BN tidak muncul pada majlis mengangkat sumpah Menteri Besar itu, sebaliknya dihadiri tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS.
Tindakan memboikot itu menyebabkan Tuanku Syed Sirajuddin murka kerana semua ADUN terbabit berada di Perlis ketika jemputan dihantar kepada mereka, iaitu dua hari sebelum majlis bermula.
Sembilan ADUN itu dalam sidang media di Kuala Lumpur yang diwakili Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan mereka menolak pelantikan Azlan kerana tidak mengikut suara majoriti yang mahukan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim dilantik ke jawatan itu.
Ismail yang juga adik Shahidan, semalam, menyatakan beliau tidak mahu jawatan itu tetapi menyarankan kepada Raja Perlis tidak melantik Azlan sebagai Menteri Besar Perlis sebaliknya salah seorang daripada lapan ADUN BN yang menang pilihan raya.
Sementara itu, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pemimpin parti politik perlu mengelakkan berlakunya konflik atau pertembungan dengan pihak Istana.
Katanya, dalam pelantikan MB, pihak Istana mempunyai kuasa untuk melantik individu yang dipercayai mendapat sokongan majoriti ahli dewan dan kebiasaannya ia dilakukan secara perbincangan tertutup antara pihak Istana dan pemimpin parti yang menang.
"Dalam hal ini, masing-masing perlu membuat satu ketetapan yang jelas sebelum berlangsungnya upacara mengangkat sumpah.
Namun dalam kebanyakan situasi, jarang berlaku perbezaan antara pihak Istana dan parti yang menang. Jika wujud perbezaan, kebiasaannya pihak parti politik akur dengan pandangan dan kehendak pihak Istana.
"Hal ini pernah berlaku di Terengganu, Johor dan beberapa negeri lain. Oleh itu, Raja Perlis boleh menetapkan tokoh yang pada hemat baginda mendapat sokongan demikian.
"Bahkan Perkara 39(4) Undang-undang Tubuh Negeri Perlis memberi kuasa kepada Raja Perlis untuk melantik MB tidak mengikut syarat-syarat yang mengehadkan kuasanya dalam melantik MB jika pada pendapatnya mustahak untuk berbuat demikian.
"Oleh itu, jika pihak Raja Perlis menetapkan untuk tidak menerima tokoh tertentu, pemimpin parti politik perlu menghormatinya. Tindakan memboikot majlis angkat sumpah bertentangan dengan budaya dan adab dengan Istana," katanya.
Beliau melihat penyelesaian terbaik ialah menerima sahaja Menteri Besar yang sudah mengangkat sumpah dihadapan Raja Perlis.
"Jika Datuk Ismail (Kassim) dapat sokongan majoriti sekali pun, ia tidak memberikan apa-apa makna jika tidak dibenarkan memasuki istana untuk mengangkat sumpah. Pelantikan Menteri Besar tidak boleh berlaku di tepi jalan.
"Kita nasihatkan Ismail dan Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Shahidan Kassim, agar mengutamakan kepentingan rakyat dalam hal pelantikan MB ini. Usah biarkan kemelut ini berpanjangan," katanya.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top