.... 'Bina negara bangsa, tutup sekolah pelbagai aliran' | AAKJ



ULASAN | Maka sekiranya tiap daripada kita ikhlas membina negara bangsa, kita wajib mulakan dengan tutup sekolah pelbagai aliran.
ULASAN | Biro Pendidikan ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) senada dengan Biro Jalur Pribumi ARMADA BERSATU dibawah Exco Saudara Firdaus Azahar menolak sekerasnya tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0) melalui Ketua Umum Hindraf, P Uthayakumar untuk membuka UiTM kepada tiap warga di Malaysia, ini kerana UiTM masih relevan dalam agenda memperkasa pendidikan Melayu-Bumiputera.
ARMADA menggesa agar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tuntutan ini yang terkait dengan hak dan kepentingan orang Melayu. Kerana tuntutan ini merupakan tuntutan yang tidak relevan dalam kancah semasa.
Benar Malaysia kini menuju ke arah Malaysia baru di bawah kerajaan Pakatan HARAPAN, antara teras utamanya adalah integrasi nasional dalam menuju ‘asimilasi’ setiap kaum dalam suasana rukun dan harmoni. Semestinya ke hadapan mampu menghasilkan tiap warga yang mampu berdaya saing atas semangat dan jiwa Malaysia.
Pun begitu, isu terkait UiTM adalah merupakan hak eksekutif yang terlalu awal dibincangkan atau dituntut khususnya oleh Hindraf. Dalam fasa peralihan ini, banyak lagi agenda utama yang lebih menguntungkan rakyat sedang dilaksana oleh kerajaan Pakatan HARAPAN. Namun tuntutan Hindraf ini mampu mengganggu keseimbangan dalam agenda yang lebih utama.
Ini kerana belum masanya UiTM dibuka kepada bukan bumiputera kerana ia satu-satunya institusi yang ditubuhkan untuk memberi pendidikan tinggi kepada orang Melayu dan Bumiputera secara eksklusif sementelah penubuhan UiTM jelas diasaskan kesan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menghapuskan kemiskinan dan menstruktur semula masyarakat yang membawa kesejahteraan berbilang kaum berpegang kepada konsep negara bangsa seperti yang termaktub dalam perlembagaan, dalam ertikata lain orang Melayu adalah merupakan ‘Tiang Seri’ negara.
Visi UiTM ialah “menjadikan UiTM sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bagi menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional bertaraf dunia supaya terlahir graduan yang berdaya saing, global dan beretika.”
Sehingga kini matlamat tersebut belum tercapai, begitu juga sasaran untuk mewujudkan 30 peratus profesional Melayu pada semua peringkat.
Walaupun diasaskan kesan dari DEB, perkara terkait dengan UiTM sebenarnya adalah sesuatu yang tidak wajar disentuh oleh mana-mana pihak, kerana ianya turut dinaungi perlembagaan yang merupakan teras negara khususnya melalui artikel 153 berkenaan Hak Keistimewaan Orang Melayu.
Asas Rukun Negara
Dijelaskan dengan ini memetik, berdasarkan Perkara 153; (8A) “Walau apa pun apa-apa jua dalam perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.”
Hindraf atau mana-mana pihak juga yang ingin mempersoalkan lagi perihal ini perlu mempertimbangkan juga asas Rukun Negara yang menjadi nadi kepada perlembagaan.
Kita kena faham konsep Melayu sebagai ‘Tiang Seri’ dalam membina sebuah rumah yang kukuh. Dan ada empat perkara terkait tiang seri ini iaitu bahasa Melayu, agama Islam, keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Raja-raja.
Jika kita sebagai warga tanah tercinta Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum ini nak menambah baik struktur rumah, tak kira pintu, atap, dinding dan sebagainya. Janganlah disentuh tiang seri ini, kerana akan runtuhlah semuanya sekiranya diganggu-gugat.
Maka tanggungjawab untuk menjaga rumah ini bukanlah tanggungjawab bangsa Melayu dan Bumiputera semata! Tak kira Cina, India, Sikh juga perlu memelihara tiang seri ini agar kita semua mampu kekal berteduh dalam semangat juang yang harmoni.
Pun begitu, segala keistimewaan orang Melayu tidak wajar menjadi alat untuk orang Melayu ‘dimanjakan’ atau ‘take for granted’, bersikap sambal lewa dan bermalasan. Bayangkan sehingga kini masih lagi orang Melayu belum mencapai sasar dengan mengambil konteks visi penubuhan UiTM itu sendiri.
Ternyata anak Melayu masih ketinggalan dalam serba serbi. Bahan bacaan seperti buku The Color of Inequality juga mampu menjadi kritikan dan panduan buat anak Melayu untuk bangkit berdaya saing.
Jangan sehingga akhirnya tiang seri yang sepatutnya memakmurkan pelbagai kaum di Malaysia ini akhirnya rosak dimakan anai-anai disebabkan sikap orang Melayu itu sendiri.
Malas, hasad dengki, tikam-menikam
Maka wajar juga dipersoalkan sebagai suatu kritikan adakah baik segala dasar afirmitif yang menjaga kepentingan orang Melayu? Sekiranya dalam kalangan Melayu itu masih lagi bermalasan, mempunyai hasad dengki dan tikam-menikam malah ada pula dalam konteks politik hanya membangunkan kroni dan kepentingan diri?
Maka konteks melahirkan 'Melayu Glokal' ini semestinya akan jauh tersasar.
Orang Melayu kena berlapang dada menerima kritikan dan menambah-baik diri mereka, kita tidak perlu cepat ‘latah’ atau meloncat biarpun yang mengkritik adalah dari kaum lain, kerana cerminan baik atau buruk, benar atau tidak mampu dijadikan panduan untuk anak bangsa lebih maju supaya keharmonian terus terbela.
Akhirnya kita sudah merdeka terlalu lama, namun teras perpaduan masih lagi merupakan suatu masalah yang menjadi duri dalam daging membina negara bangsa.
Masih jauh untuk membincangkan UiTM di peringkat ‘tertier’ untuk dibuka kepada semua kaum kerana jelas melangkau aturan, sedangkan perkara utamanya haruslah bermula terlebih dahulu dari peringkat asas.



Tak guna menyentuh sesuatu yang mampu membangkitkan kemarahan sedangkan akarnya belum terpasak! Maka sekiranya tiap daripada kita ikhlas dalam membina negara bangsa, kita wajib mulakan dengan menutup sekolah pelbagai aliran (vernacular school).
Kesan daripada ini, dalam beberapa tahun kehadapan akan mampu memperlihatkan kebaikan yang secara tak langsung mampu memberi perubahan pada lanskap atau demografi di UiTM mungkin.
Maka berpijaklah di bumi yang nyata, kerana tiap dari kita adalah warganya. Orang Melayu perlu juga semakin berani dan berdaya-saing. Masalah kemiskinan dan ketinggalan bukan masalah orang Melayu semata.

MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR ialah exco pendidikan ARMADA BERSATU.
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
-malaysiakini

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top