.... Anwar minta semua pihak tidak jatuhkan hukuman awal terhadap Najib | AAKJ



Datuk Seri Anwar Ibrahim
JAKARTA 20 Mei - Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak tidak menjatuhkan hukuman terhadap bekas perdana menteri itu sebelum siasatan rapi dan pelaksanaan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.
Beliau berkata, siasatan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd, akan dilakukan secara adil dan bebas.
Namun nasihatnya kepada Najib: "Kepada beliau (Najib) nasihat saya, cari peguam bela yang baik," kata Anwar selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie, bersempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia, di sini hari ini.
Anwar yang mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas, berharap apa jua siasatan terhadap Najib akan dilakukan secara adil dan bebas.
Pengampunan penuh Anwar dibentang dan dipertimbangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, 71, menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Azam Baki sebelum ini berkata Najib dikehendaki hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pada Selasa ini bagi membantu siasatan SPRM melibatkan kes SRC International Sdn Bhd.
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.
Mengenai pertemuan dengan presiden Indonenesia ketiga, Bacharuddin atau lebih dikenali BJ Habibie yang berlangsung hampir tiga jam di kediaman BJ Habibie di Jalan Patra Kuningan, Jakarta, Anwar berkata pertemuan itu adalah atas undangan BJ Habibie, bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Reformasi Indonesia.
Anwar berkata tahun 1998 adalah tahun keramat bagi Malaysia dan Indonesia dan tarikh 21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai tarikh jatuhnya rejim Orde Lama dan bermulanya zaman peralihan kuasa serta pengukuhan institusi-institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Presiden BJ Habibie.
Sementara itu, 2 Sept 1998 diingati rakyat Malaysia sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional yang akhirnya selesai hampir dua dekad kemudian pada 9 Mei 2018, katanya.
Anwar berkata pertemuan dan perbincangan dengan BJ Habibie akan mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara serta memperkukuh iltizam melaksana agenda reformasi di Malaysia.
Selain itu Anwar berkata kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan agenda secara lebih spesifik, antaranya mengukuhkan lagi badan kehakiman, kebebasan media yang lebih adil dan program pembasmian kemiskinan yang lebih tersusun. - BERNAMA


© Utusan Melayu (M) Bhd 



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top