Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia te­lah memberi jaminan kepada kumpulan ka­um terbesar itu bahawa perlindungan ke atas mereka adalah terjamin dan akan dipertingkatkan.
“Orang Melayu te­lah menolak UMNO, namun dalam masa sama masih ragu dan tidak pasti tentang sokongan mereka kepada kumpulan berbilang bangsa Pakatan Harapan.
“Ini bermakna kami (Pakatan Harapan) harus mengambil langkah atau usaha yang secukupnya untuk cuba dan mendekati mereka ini,” katanya seperti dipetik daripada Bloomberg TV hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau akan memansuhkan dasar afirmatif apabila dilantik menjadi Perdana Menteri kelak, Anwar dengan tegas berkata, beliau menghormati jaminan kepada orang Melayu seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan.
Bagaimanapun, tambahnya, kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini akan terus menerima sokongan dan bantuan daripada kerajaan berdasarkan merit dan keperluan.
“Kami sudah pasti akan mempertahankan kedudukan bumiputera di Malaysia dari segi memberi peluang, namun bukan kayakan mereka untuk menjadi jutawan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau kini memberi tumpuan dalam memperbetulkan ketidaksamaan ekonomi di negara ini yang dakwanya semakin teruk di bawah kerajaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.