.... Wawancara Najib Dengan Bloomberg: Nantikan Keputusan Yang Lebih Baik (bahagian 1) | AAKJ



Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Bloomberg

Sumber:
Najibrazak.com, 26 April 2018
Hasil carian imej untuk najib

Lima tahun selepas memimpin partinya dalam kemenangan yang paling sengit, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau menjangkakan "keputusan yang lebih baik" dalam pilihan raya yang akan menemukan beliau dengan saingan yang juga pernah menjadi mentor beliau.

Najib, dalam wawancara pertamanya dengan media antarabangsa setelah lebih daripada tiga tahun, membincangkan waktu kritikal yang menyaksikan skandal dana pelaburan negara berbilion dolar menarik minat seluruh dunia untuk menyiasatnya. Beliau kini menghadapi antara perjuangan yang paling sukar dalam usaha memanjangkan lagi tempoh enam dekad parti BN berkuasa, di dalam pilihan raya yang sudah menjadi terlalu peribadi: Satu pertempuran antara beliau dengan lelaki yang dikatakan membantu beliau  berkuasa pada 2009, dan pertempuran untuk memenangi hati pengundi utama negara, iaitu Melayu etnik.

Sepanjang tempoh satu jam di sebuah bilik yang berkibaran bendera Malaysia di ibu pejabat partinya di Kuala Lumpur, Najib bercakap mengenai pilihan raya pada 9 Mei ini, keadaa ekonomi – beliau menjanjikan lebih banyak pendapatan dan potongan cukai perniagaan jika dia menang - isu dana 1MDB dan soalan mengenai masa depan politiknya sendiri.

Najib sedang berusaha untuk mengekalkan pentadbiran oleh partinya United Malays National Organisation (UMNO) yang kekal dalam kuasa sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Untuk mengukuhkan kedudukannya sendiri, dia mungkin perlu memperbaiki prestasinya pada tahun 2013, apabila gabungan Barisan Nasional yang diketuai UMNO kehilangan undi popular untuk pertama kalinya tetapi berjaya menang tipis kerusi majoriti. Satu penanda berpotensi adalah dengan mendapatkan semula majoriti dua pertiga di parlimen yang gagal diperoleh sedekad lalu.

"Kami yakin dengan keputusan yang baik," kata Najib. "Tidak ada pergerakan untuk mengubah kerajaan, saya tidak melihatnya. Itu tidak menandakan kita akan menang dengan majoriti besar, tidak, saya tidak dapat meramalkannya, tetapi saya akan yakin bahawa kita boleh jangkakan hasil yang positif. "

Keyakinan Najib diyakinkan lagi oleh apa yang disebutnya sebagai "gabungan parti pelbagai pendapat" yang membentuk pakatan pembangkang Pakatan Harapan. Pakatan ini diketuai oleh Mahathir Mohamad, 92, mantan Perdana Menteri yang telah lama memperjuangkan hak-hak Melayu, manakala ahli paling berkuasanya - Democratic Action Party (DAP) - lebih memihak kepada etnik Cina.

"Saya tidak nampak bagaimana mereka boleh bekerjasama," kata Najib.

Melangkau Selat Melaka, laluan global utama dalam perdagangan melalui jalan laut dan pintu masuk ke Laut China Selatan, Malaysia adalah negara yang majoritinya beragama Islam dengan ekonomi yang tertumpu kepada komoditi dan boleh tergugat oleh perubahan dalam permintaan minyak global. Walaupun Malaysia mempunyai masyarakat Cina dan India yang cukup besar, etnik Melayu membentuk sebahagian besar pengundi - dan mereka telah lama menjadi tulang belakang UMNO.

Sejak tahun 2013 lagi, Najib telah berusaha untuk menpertingkatkan sokongan mereka terutama di kalangan pemimpin luar bandar, dan memerlukan sokongan mereka lebih lagi pada masa sekarang untuk menangkis serangan Mahathir, yang menjadi musuhnya atas skandal 1MDB.

Mahathir, yang telah memerintah Malaysia selama lebih dari 20 tahun dan terkenal kerana menambat nilai mata wang negara semasa krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an, keluar daripada UMNO pada tahun 2016 dan membentuk partinya sendiri, serta mengumumkan keluar dari persaraannya untuk mencabar Najib. Dia juga sedang berusaha untuk mendapatkan undi etnik Melayu, golongan yang diutamakan oleh Najib dengan memberi bantuan tunai kepada petani, penjawat awam dan pekerja berpendapatan rendah.

Pilihan raya kali ini diwarnai dengan isu-isu berkaitan kaum dan agama. Pengundi Cina telah meninggalkan Barisan Nasional pada tahun 2013, menguatkan fokus parti untuk mengekalkan sokongan Melayu. Najib telah memberi amaran pada lewat 2016 bahawa orang Melayu akan menjadi "pengemis" dan institusi Islam akan jatuh sekiranya pembangkang mengambil alih kuasa.

Dalam temu bual itu, Najib meramalkan blok pembangkang akan menghadapi kesukaran selepas kehilangan sokongan parti Islam utama yang membantu perjuangan mereka pada tahun 2013. Beliau juga berkata pengundi bandar dan pengundi Cina yang turun mengundi pada pilihan raya lepas dengan harapan membawa perubahan sudah kurang motivasi.

"Hari ini, mereka sedar tidak mungkin (untuk pakatan mengambil alih kerajaan)," kata Najib. "Jadi saya fikir keghairahan (motivasi) itu sudah banyak berkurangan."

Walaubagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini adalah mencabar untuk perdana menteri, sama ada di Malaysia dan di luar negara. Walaupun pertumbuhan ekonomi mencecah 5.9 peratus tahun lalu dan inflasi berada di bawah kawalan, kos hidup semakin meningkat dan rasa kurang senang ‘meletus’ kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada tahun 2015. Pembangkang juga memberi tumpuan kepada isu-isu kos sara hidup, termasuk di kawasan luar bandar, dengan mengatakan Najib gagal meningkatkan kadar pendapatan yang mencukupi.

Kemudian, terdapat juga kemarahan mengenai isu 1MDB, yang menjadi subjek siasatan antarabangsa sejak tahun 2015 kerana kehilangan dana berbilion. Najib sendiri menghadapi tuduhan - yang dinafikannya – menyalahgunakan kira-kira $ 700 juta yang disalurkan ke akaun peribadinya sebelum pilihan raya 2013. Beliau berkata wang itu adalah derma dari keluarga diraja Arab Saudi dan sebahagian besarnya dikembalikansemula. Peguam Negara Malaysia kemudiannya membersihkan nama beliau dari sebarang tuduhan salah laku.

Jika dilihat kembali, Najib berkata, 1MDB memang mempunyai isu urus tadbir tetapi "anda tidak boleh menuduh seseorang sebagai pencuri atau apa-apa kecuali ada bukti."
"Tuduhan itu telah dibuktikan tidak benar, tidak ada salah laku – saya bersumpah dengannya," kata Najib. Beliau mengakui terdapat "beberapa kerosakan reputasi '' yang baik kepada Malaysia dan kerajaan pimpinannya sendiri.

"Saya mungkin tidak akan memiliki model perniagaan seperti ini, mungkin saya akan memastikan urus tadbir yang lebih tegas," katanya mengenai 1MDB. "Tetapi kita semua belajar daripada kesilapan kita."

Sejak itu Najib bekerja untuk menguatkan posisinya dalam UMNO, menyekat perpecahan dalaman dan memecat timbalannya. "Saya percaya dalam membina hubungan peribadi dalam sesebuah parti, jadi walaupun mengalami masa yang sukar, parti tetap berdiri bersama saya," kata Najib. "Mereka tidak dapat menggoyahkan saya, asas sokongan adalah sangat kuat."

Semakin dekat pilihan raya, pengkritik menuduh Najib sengaja menyekat lawannya. Bulan ini, parti Mahathir telah dihalang daripada berkempen kerana gagal serah dokumen yang betul (walaupun mahkamah kini menggantung larangan itu), di samping itu parlimen telah meluluskan undang-undang terhadap "berita palsu" yang merangkumi hukuman sehingga enam tahun penjara.

Ditanya sama ada undang-undang itu boleh digunakan untuk menyekat pembangkang, Najib berkata media sosial Malaysia "lebih bebas daripada banyak negara lain."

"Anda boleh mengkritik kerajaan, anda boleh mengatakan bahawa kami tidak bersetuju dengan kerajaan, anda boleh mengatakan anda tidak akan mengundi kerajaan, dan itu tidak mengapa," katanya. "Maksud saya, saya boleh menerimanya."

Najib bercakap tentang pertempurannya dengan Mahathir, yang telah menuduh Perdana Menteri melakukan segala-galanya bermula dari mencuri sehinggalah melakukan persempadan semula pilihan raya untuk memberi kelebihan kepada UMNO. Najib berkata Mahathir sendiri telah melakukan beberapa persempadan semula dan persempadanan semula baru-baru ini adalah kerana "mengambil kira beberapa perubahan demografi."

"Saya fikir dia terlalu obses untuk mengawal segalanya, untuk menjadi orang yang utama, sebenarnya, ketika kami masih sahabat baik, dia ada mencadangkan penubuhan majlis penatua (council of elders)," kata Najib. "Sudah tentulah, anda boleh membayangkan siapa yang akan mempengerusikan majlis penatua itu dan menjadi pemangku perdana menteri selepas setiap kabinet, saya fikir saya akan perlu ‘berarak’ ke pejabatnya untuk mendapatkan persetujuannya."

"Dia mahu saya tunaikan permintaannya," kata Najib. Panggilan dan mesej yang dihantar ke pejabat Mahathir pada hari Rabu untuk mendapatkan komen masih tidak dijawab.

Link asal artikel: 

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top