.... UMNO tidak perlu mohon deklarasi mahkamah - Hafarizam | AAKJ



Datuk Hafarizam Harun. - Foto Rosela Ismail
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan bagi UMNO memohon deklarasi mahkamah semata-mata untuk mendapatkan kepastian mengenai statusnya sebagai parti yang sah hanya kerana parti itu menangguhkan pemilihan parti terlalu lama.
Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun, berkata ini kerana status UMNO masih sah sebagai sebuah pertubuhan atau parti seperti diperuntuk dalam Akta Pertubuhan 1966 dan diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau menegaskan, tidak ada asas yang boleh disandarkan oleh parti untuk membuat satu permohonan deklarasi mahkamah bagi memutuskan status parti kerana tiada unsur kesamaran dalam isu ini.
Malah katanya, sebarang usaha untuk mendapatkan deklarasi mahkamah juga hanya tindakan sia-sia kerana isu ini lebih bersifat akademik.
"Malah mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 pula, sebarang keputusan dibuat parti atau perkara berkaitan perjalanan parti, termasuk menangguhkan pemilihan parti tidak boleh di bawa ke mahkamah.
"Justeru, jika saya menasihatkan UMNO untuk memohon deklarasi mahkamah bagi menentusahkan status parti, saya akan dianggap sebagai tidak pasti atau ragu-ragu dengan keputusan ROS.
"Pendek cerita, jika saya berbuat demikian, ia akan menggambarkan saya seperti tidak jelas atau faham peruntukan undang-undang dan kuasa ROS serta proses yang perlu dilalui bagi menentukan isu ini," katanya kepada NSTP, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan tokoh UMNO, Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyarankan UMNO mendapatkan deklarasi mahkamah bagi menentukan statusnya sama ada masih menjadi pertubuhan yang sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Rais berpendapat kedudukan UMNO sebagai pertubuhan yang sah sudah berakhir hari ini (19 April) susulan penangguhan pemilihan parti yang dianggapnya sudah berlarutan lebih 18 bulan. Pemilihan UMNO yang terakhir adalah pada 19 Oktober 2013.
Selasa lalu, Tan Sri Rafidah Aziz turut menulis di Facebook berkongsi pandangan undang-undang seorang rakannya yang mengganggap UMNO tidak boleh bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana parti itu dianggap tidak sah selepas April 19.
Mengulas lanjut, Hafarizam menegaskan, tidak ada mana-mana pihak termasuk ahli parti sendiri boleh mempertikaikan kedudukan UMNO ketika ini walaupun parti itu menangguhkan pemilihan parti sehingga April 2019 kerana ia sudah diterima ROS.
"Saya merujuk hal ini berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam, bahawa ROS mempunyai kuasa lebihan (residual powers) untuk membenarkan UMNO menangguhkan pemilihan parti sehingga April 2019.
"UMNO sudah membuat permohonan seawal Oktober tahun lalu untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga april 2019. Permohonan itu dibuat menerusi represantasi dengan menyatakan alasan mengapa perlu lebih masa mengadakan pemilihan parti dan ROS juga sudah menjawab secara bertulis serta memberi kebenaran.
"Oleh yang demikian, mengapa perlu dipertikaikan lagi isu ini sedangkan proses memohon kebenaran menangguhkan pemilihan parti sudah diberikan ROS," katanya.
Beliau turut berkata, dakwaan UMNO tidak boleh bertanding pada PRU-14 juga tidak timbul kerana calon UMNO akan menggunakan lambang dan logo Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya.
-Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top