Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin pula akan bertanding di kerusi Parlimen Arau
Perkara itu diumumkan Presiden Pas yang juga Pengerusi Gagasan Sejahtera, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Perdana Jelajah Presiden Pas di Seksyen 18 di sini malam ini.
Sementara itu, dalam majlis sama, Pas Selangor turut mengumumkan calon untuk dua Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang akan ditandingi parti sekutunya daripada Gagasan Sejahtera.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi ketika membuat pengumuman itu memberitahu, Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Mohd. Shahir Mohd. Adnan dicalonkan bagi kerusi Parlimen Subang.
Bagi kerusi Parlimen Selayang pula, Gagasan Sejahtera mempertaruh Timbalan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Hashim Abdul Karim.
Kerusi DUN pula menyaksikan, Subang Jaya ditandingi Timbalan Presiden Ikatan, Datuk Seri Mohd. Badri Abdul Rahman manakala Bendahari Agung Ikatan, David Sew Kah Heng dicalonkan di Bukit Gasing.
Kerusi DUN Pandamaran diisi G. S. Santokh Singh; Kinrara, Datuk Lim Ying Ran manakala di Ijok pula Jefri Mejan.
Dengan pengumuman itu, Pas dan Gagasan Sejahtera akan bertanding di 21 kerusi Parlimen dan 51 kerusi DUN di Selangor.