.... Sasar majoriti lebih besar di Santubong | AAKJ




Hasil carian imej untuk pru14
SANTUBONG: Memenangi kerusi Parlimen Santubong dengan majoriti 20,936 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tidak dilihat sebagai 'zon selesa' bagi Barisan Nasional (BN).
Justeru, jentera parti pada peringkat akar umbi meletakkan sasaran mendapat majoriti lebih besar pada PRU-14, sekali gus mengekalkan kawasan itu sebagai kubu kuat BN.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata usaha sudah mula digerak bagi memastikan peningkatan jumlah peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini.
"Bagi PRU-14, kita meletakkan sasaran lebih 70 peratus pemilih berdaftar keluar menunaikan hak mereka, sekali gus menyumbang ke arah usaha meningkatkan perolehan undi majoriti kali ini.
"Pada PRU-13, Parlimen Santubong merekodkan jumlah keluar mengundi cuma 70 peratus dan kadar itu belum memuaskan," katanya ketika melancarkan Bilik Gerakan BN Santubong di Kampung Rampangi di sini, semalam.
PRU-13 menyaksikan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga penyandang kerusi Parlimen Santubong menang dengan majoriti 20,936 undi, menewaskan Affendi Jeman (Bebas) (233 undi); Zulrusdi Mohamad Hol (PKR) (3,719 undi) dan calon Parti Reformasi Negeri (STAR), Mura Kadir (206 undi).
Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar mencipta rekod sebagai calon BN memperoleh majoriti terbesar di Sarawak.
Secara keseluruhan, Parlimen Santubong memiliki 40,572 pemilih berdaftar kali ini berbanding 37,017 pada PRU-13.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, jentera BN akan melipatgandakan usaha mengenal pasti punca 30 peratus lagi pemilih tidak keluar mengundi pada PRU lalu kerana setiap undi cukup penting dan memberi impak besar.
"Ada yang kata tidak mengundi kerana yakin BN akan menang walaupun tanpa undi mereka. Perangkap minda seperti ini harus dihapuskan kerana setiap undi dikira," katanya.
Beliau berkata, jentera parti kini berusaha keras memberi penerangan kepada penduduk kampung agar keluar mengundi beramai-ramai pada 9 Mei depan.
"Kita juga berharap pemilih berada di luar kawasan, pulang untuk mengundi," katanya.
Oleh Goh Pei Pei

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top