Laungan suara ‘Hidup BN’ dan diselangi takbir oleh penyokong Barisan Nasional dan Pas, dua parti utama yang bersaing ketika mereka berhimpun selepas mengiring perarakan calon di luar pusat tersebut, memeriah dan menggamatkan suasana.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang merupakan calon DUN Seberang Takir di samping Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (Bukit Tunggal), Datuk Basir Ismail (Tepoh), Che Mansor Salleh (Buluh Gading) dan Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Parlimen Kuala Nerus) tiba di sini kira-kira pukul 9 pagi.
Diikuti calon-calon Pas yang diketuai Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (Parlimen Kuala Nerus) dan Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal), Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh), Ridzuan Hashim (Buluh Gading) dan Mohd. Fazil Wahab (Seberang Takir).
Calon PKR pula terdiri daripada Abdullah Muhamad (Parlimen Kuala Nerus), Abu Bakar Abdullah (Seberang Takir), Fatimah Lailati Omar (Bukit Tunggal), Ir. Azik Chik (Buluh Gading) dan Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan (Tepoh).
Setakat pukul 10 pagi ini, belum ada kalangan calon bebas yang muncul, dan kemungkinan besar kesemua kerusi hanya melibatkan pertandingan tiga penjuru.-UTUSAN ONLINE